Selasa, 22 Mac 2016

Peningkatan pekerja asing perlu diberi perhatian

Sultan Nazrin Shah
Sultan Nazrin Shah - Foto Bernama


TAIPING - Penggunaan tenaga kerja asing dengan bilangan yang semakin meningkat adalah perkara yang kini wajib diberi perhatian oleh kerajaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, data Kementerian Dalam Negeri menunjukkan pas lawatan kerja sosial dikeluarkan kepada warga asing meningkat daripada 2.073 juta orang pada 2014 kepada 2.135 juta orang pada 2015.

Baginda bertitah, lebih daripada 745,000 orang (35%) rakyat asing bekerja dalam sektor pembuatan; 450,000 orang (21%) bekerja dalam sektor pembinaan; 301,000 orang (14%) bekerja dalam sektor perladangan; 197,000 (9%) bekerja dalam sektor pertanian; 293,000 (14%) bekerja dalam sektor perkhidmatan dan 149,000 orang (7%) pula bertugas sebagai pembantu rumah.

“Bilangan pekerja asing tanpa izin (Pati) dikatakan berjumlah sekurang-kurangnya sekali ganda daripada bilangan pekerja asing yang mendapat pas kerja.

“Jika andaian tersebut benar, bermakna pada ketika ini, terdapat lebih empat juta orang warga asing yang sedang bekerja di negara ini.

“Analisis secara objektif wajib dilakukan berhubung implikasi kehadiran tenaga kerja asing dengan jumlah yang begitu besar,” titah baginda sempena perasmian Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping, sebentar tadi.

Baginda bertitah, negara perlu bersifat lebih selektif dan mengenakan syarat lebih ketat dalam aspek guna tenaga ketika memberikan kelulusan pelaburan baru dalam sektor pembuatan, termasuk ketika meluluskan pas kerja dalam sektor perkhidmatan.

Ia termasuklah, syarat lebih ketat dikenakan kepada majikan supaya tidak lagi memilih laluan mudah untuk mendapatkan tenaga kerja asing hingga mengakibatkan warga dan negara terpaksa menanggung kos yang tinggi.

Jelas baginda, pada 2015 sahaja, pekerja asing menghantar balik ke negara mereka melalui saluran rasmi, wang sejumlah 34.7 bilion ringgit, menyamai 2.37 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, 
namun dianggarkan jumlah sebenar adalah lebih tinggi kerana sebahagian daripada penghantaran wang ke negara masing-masing, turut dilakukan melalui saluran yang tidak rasmi.

“Pelaburan, terutama pelaburan asing di negara ini, hendaklah diluluskan berasaskan kepentingan negara, pekerjaan yang ditawarkan hendaklah membuka peluang kerja kepada warga tempatan.

“Tidaklah membawa manfaat kepada negara, apabila kerja yang ditawarkan memerlukan kerajaan memberikan kebenaran untuk lebih ramai tenaga kerja asing dibawa masuk.

“Pendirian terkini Kerajaan Persekutuan membekukan dan tidak akan membenarkan lagi kemasukan tenaga kerja asing, sangat bertepatan dan sesuai pada waktunya,” titah baginda.


Tiada ulasan: