Selasa, 22 Mac 2016

Pengganti Zeti: Bukan orang politik, bukan orang kerajaan

MALAYSIA DATELINE


Tan Sri Zeti Akhtar (kanan) bersama Timbalan Gabenornya Datuk Muhammad IbrahimTan Sri Zeti Akhtar (kanan) bersama Timbalan Gabenornya Datuk Muhammad Ibrahim

Gabenor baru Bank Negara Malaysia yang bakal menggantikan Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz bukan dalam kalangan orang politik. Malah, individu itu juga bukan dalam kalangan pegawai kerajaan lapor portal Malaysiagazette.

"Sebelum ini memang ada dua nama tetapi satu sudah menolaknya. Jadi memang ada satu nama sahaja setakat ini," menurut sumber Putrajaya.

Sumber itu bagaimanapun enggan mendedahkan individu terlibat tetapi memaklumkan ia adalah dalam kalangan 'orang Bank Pusat'.

Tambah beliau, Kementerian Kewangan sudah pun menerima nama calon kepada pengganti Zeti daripada Lembaga Pengarah Bank Negara baru-baru ini.

Setakat ini, katanya, tidak benar spekulasi yang mengaitkan nama-nama tertentu termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar sebagai gabenor baru Bank Negara Malaysia.

Selain Irwan, turut dikaitkan bakal menduduki kerusi Gabenor Bank Negara Malaysia. Mereka ialah Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali.

Meskipun, pemilihan gabenor bukan prerogatif Lembaga Pengarah Bank Negara tetapi sudah tentu kerajaan mengambil kira pandangan mereka, katanya.

Katanya, khabar angin yang mengaitkan nama-nama tertentu bertujuan memberi sentimen negatif kepada kerajaan.

Lantaran itu, kerajaan enggan melayan laporan sedemikian - termasuk menafikannya.

Sumber itu menambah, sudah tentu pengumuman pelantikan gabenor akan dibuat bila tiba masanya.

"Kerajaan percaya Bank Negara sudah bersedia untuk menghadapi peralihan kuasa dan tugas. Tidak perlu terkocoh-kocoh memandangkan Tan Sri Zeti masih dalam tempoh perkhidmatannya.

"Masa itu akan tiba. Sedikit masa lagi," ujarnya.

Tiada ulasan: