KUALA LUMPUR: Pendeposit Tabung Haji (TH) yang mengeluarkan deposit
daftar haji bersama wang simpanan mereka, akan hilang giliran menunaikan
haji sehingga 70 tahun, sidang Dewan Rakyat diberitahu semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata pendeposit yang mengeluarkan simpanan mereka akibat percaya
dengan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap TH baru-baru ini,
akan secara automatik keluar daripada giliran menunaikan haji, jika
mereka turut mengeluarkan deposit daftar haji.
Pendeposit perlu meletakkan deposit RM1,300 daripada wang simpanan
untuk pendaftaran haji dan diberikan tarikh peruntukan haji mengikut
giliran.
Mereka juga terjejas akan ruang mendapat dividen dan bonus jika mengeluarkan semua wang simpanan mereka, katanya.
"Bila mereka keluarkan deposit, dia keluarkan dirinya daripada giliran
menunaikan haji... bila mereka tarik diri dan kemudian daftar semula,
dia terpaksa menunggu pula mungkin lebih daripada 70 tahun," katanya
menjawab soalan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin).
"Ada 8.8 juta pendeposit yang hendak menunaikan haji dan menyimpan
dengan TH kerana mereka lebih selesa akan dividen simpanan yang tinggi
serta sistem yang mematuhi syariah," katan Ahmad.
Beliau membangkitkan kesan yang diterima TH susulan surat yang
dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) kepada organisasi itu, yang
diputar-belit sesetengah pihak.
Jamil Khir berkata penyebaran surat dari BNM melalui media telah
menyebabkan TH dilemparkan dengan tuduhan-tuduhan rambang, analisis
'separuh masak' dan andaian negatif pelbagai pihak sehingga pendeposit
TH menjadi mangsa.
"Situasi ini juga menyebabkan imej dan reputasi TH sebagai pengurus
haji dan dana Islam yang cemerlang di Malaysia telah tercemar akibat
daripada tuduhan-tuduhan tidak berasas ini," katanya.
Terdahulu menjawab soalan asal Lim Guan Eng (DAP-Bagan), Jamil Khir
menegaskan bahawa melalui surat maklum balas BNM bertarikh 26 Januari
lepas, bank pusat itu berpuas hati bahawa TH secara proaktif melalui
inisiatifnya telah mengambil langkah sewajarnya untuk memperkukuhkan
pengurusan risiko dan kedudukan kewangan TH.
Katanya kenyataan BNM bahawa nilai aset TH hanya cukup untuk membayar
98 sen bagi setiap ringgit nilai liabiliti pula hanya merujuk kepada
sebahagian aset TH iaitu Aset Yang Tersedia Jual.
"Namun begitu TH masih mempunyai aset-aset tidak dinilaisamakan melalui
aset dalam anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat kerjasama dan
aset-aset hartanah dengan nilai keseluruhan aset-aset TH yang
dinilaisamakan adalah positif dan melebihi liabiliti TH pada Disember
2015," kata Jamil Khir.
Beliau berkata nilai portfolio aset boleh direalisasi TH pada 31
Disember 2015 adalah sebanyak RM60 bilion, melebihi liabiliti dan dana
pendeposit iaitu sebanyak RM59.3 bilion.
Katanya kedudukan kewangan TH bagi tahun 2015 adalah kukuh walaupun
mendapat teguran BNM dan tertinggi sejak ditubuhkan dan pembayaran bonus
bagi tahun 2015 lebih tinggi dariapda tahun-tahun antara 1994 hingga
1999.
"Purata pembayaran bonus antara tahun 1994 hingga 1999 adalah di bawah
RM550 juta, manakala pembayaran bonus untuk 2015 berjumlah RM3.2
bilion," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan