PKR mempersoalkan sistem sedia ada yang begitu
longgar sehinggakan aktiviti pegawai kerajaan tidak disedari pegawai
tinggi lain termasuk menteri.
PETALING JAYA: PKR mendesak Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kes seorang pegawai tinggi di kementerian itu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kerana dipercayai terlibat rasuah berjumlah RM20 juta.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, Khairy tidak seharusnya berdiam diri dan hanya mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian itu.
“Oleh kerana imej KBS kini sudah tercemar, dalam konteks demokrasi yang progresif, langkah terbaik buat beliau sekarang ialah untuk berundur dan meletakkan jawatan pada kadar segera,” katanya menerusi kenyataan media, petang ini.
SPRM dalam sidang media semalam memaklumkan, pegawai kerajaan itu ditahan bersama beberapa lagi suspek dipercayai kontraktor yang memberi rasuah.
Pegawai itu dikatakan ‘mastermind’ kepada kumpulan sindiket menipu KBS menyebabkan kerajaan kerugian RM100 juta.
Pegawai itu hidup mewah hasil rasuah dengan membeli kereta mewah, jam berjenama, barang kemas dan unit-unit saham.
Fahmi membangkitkan persoalan jikalau Khairy tahu dan sedar tentang tingkah laku pegawai tersebut selama ini.
“Jika tidak, bagaimana orang nombor satu KBS tidak tahu tentang perkara ini? Atau adakah sistem pemantauan sedia ada begitu longgar hinggakan menteri tidak tahu berjuta ringgit hilang tanpa program dijalankan,” katanya.
Katanya, tertangkapnya pegawai kanan KBS itu membuka seribu satu tanda tanya termasuk bagaimana pegawai itu boleh dibiarkan memegang jawatan penting tersebut.
“Siapakah pegawai-pegawai atasan yang bertanggungjawab ke atas tingkah laku dan tatatertib pegawai tersebut dan apakah sistem semak dan imbang (checks and balances) sedia ada memadai?, katanya.
Katanya, rasuah tidak berlaku tanpa persekitaran yang “sesuai” dan mereka yang bertanggungjawab secara langsung ataupun tidak dalam mewujudkan persekitaran di mana kejadian rasuah ini boleh berlaku – bukan sekali tetapi berulang kali – perlu dikenalpasti dan dikenakan tindakan disiplin yang bersesuaian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan