Rabu, 9 Mac 2016

Ibrahim kecewa speaker tolak usul Ahmad Said

Anne Muhammad

 


Presiden PERKASA bersetuju dengan usul undi tidak percaya yang dibawa oleh bekas menteri besar Terengganu Datuk Ahmad Said ke atas penggantinya, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ibrahim yang menyifatkan tindakan Ahmad Said itu mengikuti lunas demokrasi berkata, Speaker DUN Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embon tidak seharusnya menolak usul berkenaan.

“Ahmad Said semalam (mahu) guna kuasa undi tidak percaya (ke atas menteri besar) dan dihalang speaker.

“Dia (Ahmad Said) menggunakan hak dia, itu hak demokrasi, tidak salah bagi saya.

"Kalau ada usul (undi) tak percaya (terhadap menteri besar) dalam dewan undangan negeri, pada saya cuma satu - speaker jangan guna kuasa untuk hentikan (tolak usul) undi tak percaya.

“Bagi saya bagus kalau speaker benarkan dan (proses) undi tak percaya dijalankan kerana ia boleh menunjukkan sama ada Ahmad Said masih mempunyai undi (sokongan) dalam dewan ,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur hari ini.

Negara sudah maju

Semalam, Ahmad Said mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap penggantinya, Ahmad Razif tetapi ditolak Speaker DUN Terengganu Mohd Zubir Embong.

Ahmad Said membentangkan usul itu mengikut Perkara 14(6) perlembagaan negeri yang membolehkan usul undi tidak percaya terhadap menteri besar dikemukakan.

Beliau juga memetik Fasal 33(11) peraturan mesyuarat DUN yang menyatakan perkara-perkara di bawah perlembagaan negeri tidak memerlukan notis.

Perkara itu mencetuskan protes di kalangan wakil rakyat pembangkang termasuk ADUN Bandar, Azan Ismail yang mahu pengundian diadakan.

Kita negara demokrasi
Ahmad Said turut menyifatkan keputusan speaker sebagai tidak adil kerana pernah ada duluan (precedent) mengenai usul undi tidak percaya dengan memetik kejadian pada 1961 apabila tiga ADUN pembangkang berpaling tadah kepada BN dan membentangkan undi tidak percaya terhadap kerajaan PAS.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Ibrahim berkata, sekiranya undian itu berlaku dan menghasilkan keputusan tertentu, ia sudah tidak dapat dipertikaikan.

“Undi tidak percaya itu merupakan keputusan yang tak boleh dipertikai, ini yang diamalkan negara maju.
Kita nak masuk negara maju, sudah ada KLCC dan lebuh raya,” katanya.

Ibrahim turut memberi contoh, sekiranya beliau dituduh melakukan jenayah rasuah tapi hakikatnya dia tidak melakukan kesalahan berkenaan, tentulah isu itu akan dibawa ke mahkamah untuk diadili.

“Begitu juga dengan undi tidak percaya, kalau kamu dituduh tapi mahkamah tetapkan kamu tidak bersalah, kamu adalah hero.

"Apabila saya sokong usul undi tidak percaya (supaya) dibenarkan, bukan bermakna saya sokong Ahmad Said atau MB (menteri besar).

"Jika ada undian (dijalankan dalam DUN), dan kalau Ahmad Said kalah, ia menunjukkan MB kuat, begitu juga sebaliknya. Jadi biar undi tak percaya yang tentukan (sebab) kita negara demokrasi," katanya.


Tiada ulasan: