Sabtu, 12 Mac 2016

Filem Tamil tempatan dianaktirikan pawagam tempatan- MIC

 
Pembikin filem tempatan Tamil terpaksa ‘memperjudikan’ filem sendiri yang kos pengeluarannya mencecah hampir setengah juta untuk bersaing dengan lambakan filem Tamil dari India yang ditayangkan hampir setiap minggu.


Ais-Kosong_


KUALA LUMPUR: Pembikin filem Tamil tempatan mungkin terpaksa ‘gulung tikar’ ekoran sikap pemilik pawagam di negara ini yang menganaktirikan ‘produk’ tempatan kerana didapati lebih gemar menayangkan filem-filem dari India.

Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian Pemuda MIC Kebangsaan, Vijayan Palaniappan berkata, pembikin filem tempatan Tamil terpaksa ‘memperjudikan’ filem sendiri yang kos pengeluarannya mencecah hampir setengah juta untuk bersaing dengan lambakan filem Tamil dari India yang ditayangkan hampir setiap minggu.

Perkara yang sama katanya, kini menimpa sebuah filem Tamil ‘Ais Kosong’ arahan Manan Subra.
“Filem yang mendapat Skim Wajib Tayang daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), yang mana tayangannya diwajibkan sekurang-kurangnya 14 hari di pawagam, berlaku sebaliknya.

“Lambakan tiga buah filem dari India baru-baru ini, menyebabkan filem ‘Ais Kosong’ yang pada awalnya ditayangkan di 16 buah pawagam mulai 3 Mac lalu kini hanya ditayangkan di sebuah pawagam sahaja,” katanya dalam sidang media kelmarin.

‘Ais Kosong’ sebuah filem komedi yang dibintangi pelakon terkenal Sasikumar Kandasamy, Alvin Martin, Sangabalan dan Anu Ramamoorthy itu, mengisahkan tiga lelaki tidak dikenali berdepan dengan pelbagai senario ketika mereka dalam perjalanan ke Pulau Pinang.

Vijayan menyelar tindakan pawagam-pawagam yang tidak mementingkan filem tempatan sebaliknya lebih mengutamakan filem import, seolah-olah membunuh karya seni anak-anak tempatan.

Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan saingan daripada filem luar negara, sebaliknya kecewa sikap pawagam yang tidak menyokong filem tempatan.

Ini kerana, katanya, filem tempatan tetap mempunyai kelompok peminatnya tersendiri dan faktor filem luar negara bukan menjadi alasan tempoh tayangan filem ‘Ais Kosong’ di pawagam dikurangkan.

Beliau berharap agar pawagam dapat memberi kerjasama baik kepada pembikin filem tempatan sekali gus membuktikan kemampuan mereka dalam industri perfileman negara.

Kecewa dengan situasi itu, Vijayan menggesa Finas tampil campur tangan menyelesaikan isu itu.

“Moga-Moga pihak pengurusan pawagam mengambil perhatian dan tindakan terhadap isu ini bagi memastikan industri filem tempatan tidak berkubur” katanya.

Sehubungan itu, Biro Kebudayaan dan Kesenian Pemuda MIC Kebangsaan telah menghantar memorandum kepada Finas semalam berhubung isu tersebut.

Tiada ulasan: