Selasa, 15 Mac 2016

Deklarasi Rakyat sulitkan Umno mainkan sentimen kaum

Anthony LokeAnthony LokeDeklarasi Rakyat yang diusahakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan disokong oleh para pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) daripada pelbagai kaum dan agama akan menyukarkan Umno untuk memperalatkan sentimen kaum dan agama khususnya menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook berkata, propaganda politik murahan dengan memperalatkan sentimen kaum dan agama semakin terhakis apabila pemimpin-pemimpin masyarakat sivil, pemimpin politik dan individu memusatkan matlamat mereka untuk menyelamatkan negara dengan menandatangani Deklarasi Rakyat pada 4 Mac lalu.
“Mereka takutkan orang Melayu kononnya kalau Pakatan Harapan menang, DAP akan berkuasa dan orang Melayu akan terjejas. Jadi fokus mereka bukan kepada pentadbiran negara, bukan kepada integriti pemimpin kerajaan.
“Jadi kita lihat pada hari ini, kita boleh bersama-sama Tun Mahathir untuk mahu selamatkan negara kerana kita hilang kepercayaan kepada Najib.

“Kita nak singkirkan Najib kerana skandal beliau dalam 1MDB, skandal derma RM2.6 bilion, salah tadbir negara dan juga kepincangan politiknya," ujar Anthony dipetik Roketkini.

Menurut beliau, gerakan yang dicetuskan Tun Mahathir itu akan memberi keyakinan baru kepada pemikiran orang Melayu untuk fokus kepada isu sebenar.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban menjelaskan, dengan adanya tokoh-tokoh besar bekas pemimpin negara dalam gabungan raya Selamatkan Malaysia, Umno-BN kehabisan modal untuk memainkan sentimen perkauman dan agama.

Ini kerana, jelas beliau sentimen perkauman dan agama boleh dineutralkan kerana pemimpin berpengaruh seperti Tun Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut bercakap mengenai skandal 1MDB, skandal derma RM2.6 bilion dan banyak lagi masalah negara.

“Kita perlu akui bahawa kehadiran Mahathir ada pengaruh yang besar kepada rakyat Malaysia. Kalau Mahathir tak boleh mainkan peranan ini, siapa lagi yang boleh untuk ubah tanggapan jahat dan fitnah kepada pembangkang selama ini.

“Lebih-lebih lagi, sekarang kita nak yakinkan juga ahli-ahli biasa Umno bahawa mereka juga sengsara seperti rakyat Malaysia yang lain akibat pentadbiran Najib,” tambah beliau.

Anthony turut menasihatkan semua penyokong Pakatan Harapan supaya tidak bimbang atau mempertikaikan kerjasama dalam gabungan raya Selamatkan Malaysia kerana ia bukan soal “boleh percaya Mahathir atau tidak”.

Beliau menegaskan, pembangkang tidak perlu bergantung kepada Mahathir untuk meneruskan agenda reformasi.

“Kalau kita berjaya bawa perubahan dan jatuhkan Najib, pemimpin yang menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri sudah tentu bukan Mahathir. Bukan dia yang akan jadi Perdana Menteri semula.

“Yang penting sekarang ini matlamatnya ialah untuk selamatkan Malaysia, dan ini boleh dicapai dengan undurnya Najib. Dan cara terbaik untuk mencapainya ialah dengan PRU ke-14,” katanya.

Menghuraikan kaedah menyingkirkan Najib, beliau memberi tiga senario untuk melaksanakannya secara sah mengikut undang-undang dan Perlembagaan.

Katanya, cara pertama adalah dengan undi tidak percaya di Parlimen dengan mendapatkan sokongan 112 Ahli Parlimen untuk menandatangani surat akuan bahawa mereka telah hilang kepercayaan kepada Najib sebagai Perdana Menteri.

Namun, oleh kerana blok pembangkang termasuk PAS buat masa ini hanya mempunyai 87 Ahli Parlimen, ia tidak mencukupi untuk mencapai angka majoriti mudah tersebut.

“Jadi untuk mencapai angka 112 orang, kita perlukan 25 Ahli Parlimen BN. Tetapi secara realistiknya, kita tak ada Ahli Parlimen BN yang berani seramai itu, dan cara ini sukar dijayakan,” jelasnya.

Cara kedua, ujarnya adalah melalui proses dalaman Umno iaitu melalui Majlis Tertinggi parti itu namun sukar dilakukan kerana Najib masih mendapat sokongan pemimpin Umno.

Menurutnya, cara terakhir adalah menunggu PRU ke-14 bagi membolehkan kerajaan yang ada ditukar melalui proses pilihan raya.

"Dan sementara menunggu PRU, kita giatkan kempen penerangan kepada semua rakyat agar jelas dan tiada salah faham tentang matlamat sebenar Selamatkan Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan: