Rabu, 23 Mac 2016

Culik: Polis selamatkan gadis kemboja

PDRM


IPOH - Polis berjaya menyelamatkan seorang gadis warga Kemboja berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan kira-kira sejam selepas dia dilarikan sekumpulan lelaki di sebuah kedai serbaneka di Jalan Mustapha Al-Bakri di sini malam tadi.

Gadis berusia 19 tahun itu dipercayai dilarikan kumpulan lelaki terbabit termasuk seorang warga Bangladesh lebih kurang jam 7.30 malam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, Balai Polis Pekan Bharu telah menerima maklumat daripada orang awam berhubung insiden itu pada jam 7.45 malam.

Menurutnya, melalui maklumat awal yang diterima, gadis yang baru bekerja sebagai pembantu kedai sejak tiga bulan lalu dipercayai dibawa lari menaiki kereta Toyota Hilux berwarna hitam.

"Sejurus maklumat diterima, kita segera menggerakkan anggota unit peronda serta mendapatkan bantuan daripada sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjejaki kenderaan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh tengah malam tadi.

Katanya, lebih kurang jam 8.30 malam pihaknya dimaklumkan gadis terbabit ditemui dalam keadaan selamat.

"Kenderaan Toyota Hilux yang dimaklumkan sebelum ini tidak ditemui, sebaliknya kita menjumpai sebuah Nissan X-Trail dan kereta jenis Proton Persona di lokasi berkenaan.

"Selain itu, kita turut menahan kelima-lima lelaki berusia antara 21 hingga 49 tahun dari Johor yang dipercayai bekerja di agensi pekerja asing, " jelasnya.

Chang Keong berkata, pihaknya masih menyiasat motif sebenar kejadian tersebut memandangkan gadis yang mempunyai dokumen perjalanan sah itu mendakwa tidak mengenali kelima-lima lelaki terbabit.

"Berikutan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu membawa lari orang dengan salah," katanya.


Tiada ulasan: