KUALA PILAH - Cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino ketika ini disifatkan sebagai "rahmat" bagi peniaga cendol.
Idris Abdul Kadir, 53, penjual cendol di Kuala Pilah berkata cuaca panas yang melanda negara kini membuatkan gerainya tidak putus-putus dikunjungi orang ramai.
"Saya boleh menjual kira-kira 500 mangkuk cendol sehari dan 700 mangkuk pada hujung minggu ... Alhamdulillah," katanya kepada Bernama ketika ditemui di gerainya.
Khairunnizam Sarjat, 24, penjual cendol di Senawang turut bersyukur kerana jualannya meningkat susulan cuaca panas ketika ini yang mungkin membawa impak negatif kepada pihak lain.
Beliau tidak menyangka fenomena itu memberikan rezeki tambahan kepadanya apabila hasil jualannya meningkat sekali ganda berbanding sebelumnya.
Khairunnizam berkata, jualannya daripada 300 bungkus sehari kini mencecah kira-kira 700 bungkus sehari dengan setiap bungkus berharga RM3.
"Pelanggan banyak bungkus cendol bawa pulang, lagi-lagi musim panas pelanggan berpusu-pusu berkunjung ... waktu puncaknya adalah sekitar pukul 1 tengah hari atau 2 petang dan 5 petang ketika orang pulang daripada bekerja.
"Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya dengan fenomena ini," katanya.
Namun, keadaan berbeza bagi usahawan cendawan Nur Athirah Abdul Ghafar, 24, yang mendakwa mengalami kerugian akibat cuaca panas dan kering ini.
"Musim panas ini, cendawan saya menjadi lambat matang dan kadang kala mati.
"Kalau musim hujan, cendawan akan menjadi lebih cantik dan kembang dan boleh dituai setelah dua hingga tiga hari. Namun sejak El Nino melanda, cendawan menjadi lambat matang malah saiznya juga semakin mengecil," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan