Rabu, 23 Mac 2016

Anak TPM: Saya tak pernah dapat anugerah ikon belia

Nurul Hidayah Ahmad Zahid Hamidi
Nurul Hidayah Ahmad Zahid Hamidi - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB


SHAH ALAM - Anak sulung Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid hari ini tampil menjelaskan kekeliruan mengenai gelaran ikon belia yang 'diterimanya' sehingga menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat.

Menjelaskan perkara itu, Nurulhidayah berkata, sebenarnya berlaku sedikit kesilapan oleh sebuah stesyen televisyen tempatan yang tanpa sengaja telah 'menganugerahkan' gelaran tersebut kepadanya.

"Sebenarnya gelaran ikon belia ini adalah kesilapan daripada pihak stesyen TV, tahun lepas saya dipanggil dalam sebuah rancangan bual bicara, pihak penerbit tanya kepada saya nak 'gelar' saya sebagai apa, saya cakap saya aktif dalam persatuan belia, banyak terlibat dalam program belia, oklah dia tanya saya nak letak apa, saya kata aktivis belia sesuailah.

[ARTIKEL BERKAITAN: Netizen terus 'serang' anak Zahid Hamidi]

"Dan semasa 'On Air' saya nampak  tertera di bawah nama saya ikon belia, saya cakap habislah... tapi bagi saya mungkin pihak penerbit merasakan saya wakil kepada belia sebab itu dia letakkan gelaran saya sebagai ikon belia, tapi bagi orang lain dekat luar sana mungkin gambaran mereka tentang ikon belia adalah lain," katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Online di pejabatnya, hari ini.

Mengulas lanjut, Nurulhidayah sekali lagi menegaskan beliau tidak pernah menerima anugerah seumpamanya.

"Saya tidak pernah dapat anugerah sebagai ikon belia," katanya.

Menurutnya lagi, selepas berlaku kesilapan itu, beliau telah memanjangkan surat kepada stesyen TV tersebut agar menjelaskan kekhilafan tersebut kepada masyarakat umum.

"Saya sudah menulis surat kepada stesyen berkenaan agar pihaknya mengeluarkan kenyataan diatas kesilapan itu," katanya.

Susulan daripada gelaran ikon belia itu, Nurulhidayah telah 'diserang' oleh netizen yang mempertikaikan apa sumbangan wanita itu kepada negara.

Mengimbau kembali peristiwa itu, Nurulhidayah bagaimanapun berkata, beliau menerima semua itu dengan hati yang terbuka dan positif.

"Adalah terkesan tetapi ia tidak sampai menjejaskan kehidupan saya, saya fikir positif mungkin orang nak kenal saya dengan cara begitu, jadi tidak mengapalah," katanya.


Tiada ulasan: