Selasa, 22 September 2015

Pertemuan khas akar umbi MCA isu BERSIH, baju merah

MALAYSIAKINI


 


MCA akan mengadakan sesi khas dengan pemimpin akar umbinya pada Khamis ini untuk memutuskan pendirian mereka berkaitan perhimpunan BERSIH 4 dan perhimpunan balas baju merah.

Setiausaha agungnya Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata taklimat itu akan dihadiri oleh semua pengerusi bahagian, timbalan pengerusi, setiausaha, ketua pemuda dan ketua wanita bagi membincangkan pendirian bersama.

Katanya, perkhidmatan awam baru-baru ini, termasuk perkembangan isu-isu politik, ekonomi dan kaum, mewujudkan suasana tegang.

Dalam masa yang sama, Ong menggesa semua pemimpin parti Cina itu untuk bertenang dan mengelak membuat kenyataan beremosi yang boleh memburukkan keadaan.

“Keadaan ini tidak menguntungkan semua parti, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau juga mendakwa masalah yang dihadapi berpunca daripada pertelingkahan dalam isu kewangan 1MDB yang dimanipulasi sesetengah pihak sehingga menjadi isu kaum.

Ong berkata, walaupun mudah menjadi wira, membetulkan keadaan selepas itu tidak mudah.

“MCA harus selari dengan wawasan pengasas kita, pertahan hak-hak orang Cina dan bangsa lain, jaga semangat kemerdekaan Malaysia dan pastikan semua bangsa mendapat hak dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Himpunan baju merah 16 September anjuran kumpulan silat PESAKA mencetuskan kontroversi dengan isu kaum yang dilihat dipergunakan beberapa pihak untuk menyatakan kebencian pada masyarakat Cina.

BERSIH 4 pula disemarakkan beberapa pihak dengan dakwaan menghina pemimpin Melayu apabila poster Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipijik pesertanya.

Tiada ulasan: