MALAYSIAKINI
Hu Pang Chow, pengasas bersama Kelab Penyokong PAS, yang kemudiannya
dinaik taraf menjadi sayap keempat dalam PAS, telah memutuskan hubungan
dengan parti itu.
Ketika dihubungi, Hu mengesahkannya, dengan alasan telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan baru PAS.
Katanya, beliau sedih kerana selepas PAS berjuang keras untuk sampai ke
mana ia berada hari ini - selepas pilihan raya umum ke-12 dan ke-13 di
mana ia membuktikan boleh mendapatkan sokongan bukan Islam - para ulama
melepaskan peluang itu dan didakwa memusnahkan parti itu sendiri.
Hu membantu menubuhkan Kelab Penyokong PAS pada 2004, dan kemudiannya
menjadi Kongres Penyokong PAS pada 2010 atas gesaan pemimpin progresif
dalam parti itu untuk membuat PAS lebih inklusif.
Beliau mengambil keputusan itu di tengah-tengah rancangan pemimpin
progresif PAS yang disingkirkan daripada kepimpinan parti itu oleh
pemimpin tegar konservatif dalam muktamar parti itu bulan lalu, untuk
menubuhkan sebuah parti baru.
Hu berkata setelah penyokong PAS selama 16 tahun, fundamental parti itu
tidak berubah tetapi halatujunya telah menyimpang dari slogan parti itu
''PAS untuk semua'.
"Masalahnya ialah ulama muda (yang mengambil alih parti). Parti itu
telah menyimpang dari jalannya dan memusnahkan segala yang telah
dicapai," kata Hu.
Ditanya sama ada Hu akan menyokong Gerakan Harapan Baru (GHB), sebuah
gerakan yang dibentuk oleh pemimpin progresif PAS, ke arah menubuhkan
sebuah parti baru, katanya tunggulah sama ada beliau akan hadir di
jelajah GHB di Kota Bharu, Kelantan.
Hu bertanding di bawah tiket PAS di Ayer Hitam menentang Datuk Wee Ka Siong dari MCA dalam pilihan raya umum lalu tetapi kalah.
Dia berhenti menjadi Ketua Kongres Penyokong PAS pada tahun 2014 selepas
menjadi semakin kritikal terhadap peningkatan elemen konservatif dalam
parti itu.
Kebangkitan golongan muda konservatif sampai ke kemuncaknya dengan
penyingkiran barisan progresif daripada kepimpinan PAS pada bulan Jun,
diikuti PAS memutuskan hubungan dengan DAP, langkah yang membawa kepada
berkuburkan Pakatan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan