SHAH ALAM: DAP perlu memutuskan hubungan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah selepas ketua pembangkang itu dilihat menggadaikan prinsipnya apabila memfailkan aduan qazaf bagi pihak suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim berkata, tindakan
tidak memutuskan hubungan dengan Presiden PKR itu menterjermahkan lagi
DAP sebenarnya tidak mempunyai taring apabila berdepan dengan PKR.
Sehubungan itu, Tunku Aziz meminta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
berani menyatakan status hubungan dengan Wan Azizah selepas bertindak
drastik memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang apabila parti itu terus memperjuangkan hudud.
"Ya mereka (DAP) perlu berpegang kepada prinsip sebelum ini, kerana
selama ini pun DAP tidak pernah menyokong hudud, dan sudah pasti PAS
mahukan hudud.
"Apabila Wan Azizah pula cakap dia mahukan (qazaf-hudud), sekarang dia telah berpatah balik atas itu, jadi perlulah Lim Guan Eng menggesa supaya PKR meninggalkan pakatan mereka.
"Jika tidak ianya menterjermahkan DAP tiada kuasa," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi tadi
Beliau mengulas mengenai Timbalan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Ng Chok Sin yang mendesak DAP menyatakan pendirian mereka terhadap Wan Azizah selepas dilihat terus mengambil pendirian membisu daripada memberikan sebarang komen berhubung pemfailan aduan qazaf itu.
Tindakan itu juga membuktikan beliau menyokong undang-undang Islam itu, selepas tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong hasrat PAS yang mahu melaksanakan hukum berkenaan.
Dalam perkembangan yang sama, Tunku Aziz menyifatkan Wan Azizah sebagai
pemimpin yang tidak jujur apabila bertindak talam dua muka dalam
sesuatu isu terutamanya yang berkait dengan hudud.
"Dalam satu keadaan, dia kata dia sokong hudud (buat aduan qazaf)
tetapi dalam satu keadaan dia cakap masih belum sokong hudud, pada saya
cara (Wan Azizah) ini tidak betul.
"Dia adalah ketua pembangkang bagi semua parti di bawahnya, pada saya
apabila dia (failkan aduan qazaf) dalam kes ini, ianya menunjukkan dia
bukan seorang pemimpin yang jujur dan ikhlas," katanya.
DAP masih tak sah daftar RoS
Sementara itu, Presiden Jawatankuasa Penaja Parti Alternatif Rakyat (PaP), Zulkifli Mohd Noor pula berpendapat sebaliknya.
Zulkifli berkata, tidak ada apa-apa perlu diputuskan DAP memandangkan
parti itu dianggotai oleh pemimpin utamanya yang tidak diiktiraf oleh
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
"Pada saya, tiada apa yang hendak putus (untuk desak DAP putus dengan PKR?) Sekarang ini tiada apa yang hendak diputuskan lagi.
"DAP hidup secara parti bersendiri, PAS bersendiri, jadi tiada apa yang
hendak didesak untuk putus dengan PKR lagi sudah," katanya.
"Pakatan ini tidak pernah dicantum secara rasminya, hanya berpakat, maka tiada apa-apa benda yang hendak diputus terutamanya PAS sudah pun mengundur diri, PKR pun bersendiri dan DAP tidak wujud sebab pemimpin dia haram," katanya lagi.
Malah apabila menyentuh tentang pemfailan aduan qazaf oleh Presiden PKR itu, Zulkifli yang juga masih ahli DAP menegaskan pemimpin pembangkang itu dilihat hanya mahu menyelamatkan ahli keluarganya berbanding parti.
"Jadi apa sahaja yang dibuat oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah hari ini pada saya ada kepentingan keluarganya, hendak selamatkan keluarga dia, dia ikut hudud, hendak selamatkan parti dia, dia kata tiada komen...
"Ini adalah pendirian tidak tegas, pendirian bukan datang daripda satu pemimpin yang agung," katanya.
Untuk rekod, pada 26 Jun lalu, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
memfailkan aduan qazaf terhadap peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee
Abdullah yang didakwa memfitnah beliau berhubung kes liwatnya.
Isterinya, Wan Azizah memfailkan aduan itu bagi pihak suaminya di bahagian penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor.
Wan Azizah berkata, aduan qazaf itu dibuat berikutan tindakan Muhammad Shafee yang menuduh Anwar melakukan liwat dengan bekas pembantu peribadinya Saiful Bukhari Azlan tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh (Anwar) sepertimana diwajibkan oleh undang-undang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan