Oleh Shahbudin Husin
Entah
bagaimana dan secara tiba-tiba saja Menteri Komunikasi dan Multimedia,
Datuk Seri Ahmad Shabery Chik mengatakan kerajaan sedia mengkaji
kewajaran menutup laman sosial Facebook sekiranya mendapat sokongan
masyarakat yang akan dibuat melalui kajian atau pungutan suara daripada
pelbagai lapisan masyarakat.
Sekiranya orangramai berpendapat laman sosial Facebook perlu ditutup,
kita sedia melakukannya, demikian katanya.Datuk Seri Ahmad Shabery
menyatakan pendirian dan sikap kerajaan itu berikutan begitu banyak
penghinaan kepada individu tertentu, kaum, agama dan sebagainya menular
melalui Facebook sejak kebelakangan ini.
Selain persoalan sama ada perlu atau tidak Facebook ditutup untuk
menangani pelbagai gejala tidak sihat yang berkembang melalui laman
sosial itu kebelakangan ini, patut juga ditanya ialah sama ada wajar
seorang menteri memberi jawapan seperti itu?
Kenapa sebagai pemimpin, seorang menteri gagal memberikan jawapan
yang lebih meyakinkan dan menunjukkan mereka adalah lebih cerdik
daripada rakyat biasa?
Setelah sekian lama kita dihidangkan dengan jawapan lucu daripada
beberapa menteri seperti "jangan makan ayam jika mahal," "tanam sendiri
jika sayur di pasar mahal," "tinggal dalam hutan jika tidak setuju
sistem pilihanraya," "kenaikan harga gula untuk mengurangkan penyakit
kencing manis" dan banyak lagi, kenapa ada lagi menteri memberikan
jawapan "cap ayam" dalam menyelesaikan sesuatu isu?
Facebook ialah umpama pisau yang banyak kegunaan untuk kehidupan
seharian tetapi ia juga boleh menjadi senjata untuk membunuh. Ia
terserah kepada kita memanfaat dan menggunakannya.
Meskipun pelbagai
gejala tidak sihat mula berkembang melalui Facabook seperti penghinaan
yang melibatkan agama, kaum dan individu tertentu tetapi kebaikannya
juga banyak.
Melalui Facebook, ikatan persahabatan dan kekeluargaan boleh
dijalinkan. Mereka yang terputus hubungan juga boleh bertemu semula.
Ramai juga yang menggunakan Facebook untuk menyebarkan maklumat,
berkongsi ilmu dan kefahaman agama, malah tidak kurang yang menjalankan
perniagaan menggunakan laman sosial ini. Pendeknya, apa saja kebaikan
dalam hubungan sesama manusia boleh dilakukan melalui Facebook jika hati
kita ingin menuju ke arah itu.
Namun demikian, seumpama pisau, Facebook juga boleh menjadi senjata
pembunuh untuk memaki hamun, menyebarkan fitnah, melakukan penghinaan
dah segala macam kejahatan lain. Jika hati jahat, Facebook juga akan
menuju ke arah yang hitam itu.
Secara umumnya, sama ada Facebook ini menuju kebaikan atau kejahatan,
ia terpulang kepada hati dan keperibadian seseorang yang
menggunakannya.
Tetapi sebagai menteri, memberikan jawapan akan mengkaji kewajaran
menutup Facebook serta akan membuat kajian atau pungutan suara
mengenainya, jelas merupakan jawapan yang tidak matang dan "cap ayam".
Tidak banyak bezanya jawapan ini dengan saranan yang mahu "rakyat jangan
makan ayam kerana harganya sudah meningkat" dan sebagainya sebelum ini.
Apakah begitu mudah kerja seorang menteri?
Timbul saja masalah, jawapannya ialah tutup.
Datuk Seri Ahmad Shabery seharusnya memberikan jawapan yang lebih
meyakin dan meraikan kepelbagaian dalam dunia moden dan terbuka sekarang
ini. Cadangan penutup Facebook hanya menunjukkan akal dan pemikirannya
yang singkat. Beliau seharusnya menunjukkan kematangan dengan melihat
aspek-aspek kebaikan dalam Facebook serta penuh yakin ia jauh lebih
wajar dimanfaatkan oleh semua rakyat negara ini tetapi dalam masa yang
sama memperkemaskan agensi penguatkuasaannya seperti Suruhanjaya
Komunikasi dah Multimedia Malaysia atau SKMM yang bertanggungjawab
memantau elemen-elemen tidak sihat melalui Facebook.
SKMM bukan saja harus diaktifkan untuk memantau akaun-akaun yang
melakukan gelaja tidak sihat serta melampau tetapi mesti juga agresif
mendakwa dan membawa ke muka pengadilan mereka yang didapati melakukan
perkara sedemikian. Selebihnya, SKMM juga tidak harus ragu-ragu menutup
mana-mana akaun yang menyumbang kepada gejala tidak sihat itu. Sesuai
dengan pengguna Facebook yang kian bertambah, kakitangan SKMM juga harus
ditambah mengikut keperluan.
Selain itu program mendidik rakyat ke arah menggunakan laman sosial
ini kepada kebaikan harus juga sentiasa dilakukan dan dipertingkatkan
dari semasa ke semasa.
Sekiranya program mendidik rakyat sentiasa berjalan dan dalam masa
yang sama pula SKMM berperanan sewajarnya, tiada apa yang dibimbangi
dengan Facebook ini. Malah perkataan menutup Facebook juga tidak perlu
terpacul daripada mulut seorang menteri, apatah lagi mahu membuat kajian
atau pungutan suara mengenainya.
Dengan mengeluarkan idea mahu menutup Facebook dan membuat pungutan
suara, bukan saja menunjukkan kegagalan kerajaan dan menteri yang begitu
ketara di mata rakyat, malah persendaan bahawa bertambah seorang lagi
pemimpin "cap ayam" turut juga menjadi perbualan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan