SEPANG: Pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diamanahkan
menjalankan misi mencari dan siasatan nahas MH17 hanya sempat memasuki
Donestk, timur Ukraine dua atau tiga kali sahaja, sepanjang 10 hari
mereka berada di sana.
Ketua pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU), DSP Law Pang Tai berkata
disebabkan kawasan itu masih tegang, pasukan Malaysia juga terpaksa
menunggu giliran mereka, selain pasukan dari Belanda dan Ausralia, untuk
memasuki lokasi tersebut dan menjalankan operasinya.
Katanya, pasukan Malaysia juga hanya dibenarkan berada di lokasi itu, paling lama dalam lingkungan tiga jam pada sesuatu masa.
"Paling lama dua hingga tiga jam. Sebenarnya tugas itu sangat mencabar,
ada juga kedengaran bunyi bom, tembak menembak tetapi kita selamat
tanpa sebarang kejadian," kata beliau yang tiba bersama 21 anggota FRU
dan enam anggota VAT69, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA) pada Ahad.
Pasukan tersebut yang merupakan kumpulan pertama tiba di tanah air
disambut Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Seri Muhamad Fuzi Harun,
selain anggota keluarga pasukan berkenaan.
Kumpulan kedua terdiri daripada 11 anggota forensik PDRM pula dijangka
tiba petang ini, manakala kumpulan terakhir yang turut disertai Ketua
Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dijangka tiba Selasa ini.
Sementara itu, anggota VAT69 Sarjan Mohd Zulkifli Ali berkata, pasukan
Malaysia juga tidak dibenarkan membawa senjata ke lokasi tersebut dan
kedengaran bunyi tembakan meriam antara tentera Ukraine dan puak
pemisah.
"Misi utama kami ialah mencari bukti dan membantu pasukan forensik.
Kami tidak dibenarkan membawa senjata, sebab ia tempat orang, masing
tegang.
"Lagipun kita tak boleh tetapkan masa kita sendiri untuk memasuki
lokasi itu. Mereka yang akan tetapkan. Ia bergantung kepada keadaan,
situasi, krisis di sana," katanya sambil menambah keselamatan sentiasa
diutamakan.
Penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur
ketika terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia,
pada 17 Julai lepas.
Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 298 orang - 283 penumpang dan
15 anak kapal - dipercayai ditembak jatuh namun tiada pihak mengaku
bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.
Sebanyak 43 warganegara Malaysia adalah antara penumpang dan anak kapal dalam pesawat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan