Ahad, 24 Ogos 2014

Kerajaan Pusat digesa kaji pengurangan pengambilan pelajar cemerlang ke IPTA

 
Pelajar cemerlang telah menjadi mangsa tindakan kerajaan yang tidak telus dan drastik.
300

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata PKR telah menubuhkan satu jawatankuasa Higher Education Complaint Advisory Panel (HEAP), bagi menangani masalah kegagalan kemasukan pelajar cemerlang ke IPTA.

Menurutnya, kegagalan pelajar cemerlang masuk ke IPTA telah berlaku setiap tahun sejak 20 tahun lalu.

“Setakat semakan, kami telah menerima 191 aduan melalui laman HEAP.

“Kami telah senaraikan 2 masalah besar yang wujud iaitu 54 kes pelajar dapat kursus luar pilihan manakala 52 kes pula pelajar  gagal dapat sebarang tawaran,” katanya dalam satu sidang media.

Tambahnya, pengurangan pengambilan pelajar merupakan faktor utama masalah kes-kes ini berlaku. Hanya 55 peratus sahaja pelajar yang layak mendapat tawaran tahun ini berbanding 72 peratus tahun lepas.

“Tahun ini hanya 37, 467 pelajar ditawarkan IPTA berbanding 41,573 tawaran tahun lepas.

“Seramai 29,921 pelajar yang layak, gagal mendapat sebarang tawaran tahun ini,” katanya.

Jelasnya, pengurangan pengambilan pelajar yang drastik ini dikatakan bertujuan untuk memindahkan beban tanggungan kewangan kepada ibu bapa dan pelajar.

“Ini sekaligus dapat mengurangkan beban tanggungan kerajaan. Ia juga dijangka akan membantu IPTS mendapat bisnes yang lebih baik,” jelasnya.

Tegasnya, PKR mengesa kerajaan pusat mengkaji balik pengurangan pengambilan pelajar ini.

“Kami menyeru kerajaan pusat kembalikan kadar pengambilan pelajar ke tahap seperti tahun-tahun lepas iaitu pada 72 peratus.

“Pelajar-pelajar cemerlang yang ingin mengikuti kursus kedoktoran harus diberi peluang.
“Pengurangan pengambilan pelajar kedoktoran amatlah tidak adil,” katanya.

Ujarnya, pelajar cemerlang menjadi mangsa tindakan kerajaan yang tidak telus dan drastik.

“Sebarang pengurangan haruslah dimaklumkan seawal mungkin supaya pelajar boleh membuat keputusan yang wajar.

“Kami menyeru kerajaan kembalikan pengambilan pelajar kedoktoran dan doktor pergigian ke tahapsebelum ini iaitu lebih kurang 900 berbanding 418 tahun ini,” jelasnya

Tiada ulasan: