shahbudindotcom
Dalam perkembangan terbaru untuk memuaskan hati semua pihak berhubung
kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor, PKR dikhabarkan sedang
berusaha mencari calon alternatif kepada Dr Wan Azizah Wan Azizah yang
sebelumnya sudah diputuskan untuk mengambil alih tempat Khalid Ibrahim
itu.
Menurut berita yang disiarkan dalam Malaysian Insider, seorang ADUN PKR
telah dikenalpasti sebagai calon alternatif itu, namun ia hanya akan
didedahkan setelah konsensus antara Pas, PKR dan DAP dicapai.
Sebagaimana yang didedahkan oleh salah seorang pemimpin tertinggi PKR,
calon tersebut bukanlah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kerana Pas
memang sudah menolak pencalonan beliau sebagai pengganti Khalid sejak
awal lagi.
Dalam usaha menggantikan Khalid Ibrahim sebagai meneruskan Langkah
Kajang dan memburu cita-cita menawan Putrajaya menjadi kenyataan, Anwar
Ibrahim pada minggu lalu telah memutuskan bahawa PKR bersetuju
mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai pengganti Khalid.
Bagaimanapun, belum pun persetujuan dicapai antara Pas, PKR dan DAP
berhubung pertukaran itu, Presiden Pas, Haji Hadi Awang membuat
kenyataan mahu Khalid Ibrahim terus dikekalkan atas alasan tiada
pengkhianatan kepada rakyat yang telah dilakukannya sepanjang enam tahun
memimpin negeri Selangor.
Tindakan Haji Hadi mengeluarkan kenyataan berbentuk peribadi itu lantas
mencetuskan polemik dan kekalutan, bukan saja dalam Pas tetapi juga
dalam PR kerana Pas sepatutnya memutuskan sama ada bersetuju atau tidak
dengan penggantian Khalid Ibrahim dalam mesyuaratnya pada 10 Ogos depan.
Walaupun PKR dan DAP konsisten bersetuju dengan pertukaran Khalid, Pas nampaknya berbelah-bagi mengenainya.
Perkhabaran mengenai calon alternatif ini dipercayai untuk memuaskan
hati pihak tertentu dalam Pas yang tidak bersetuju dengan perlantikan Dr
Wan Azizah atas alasan beliau seorang wanita dan isteri kepada Anwar
Ibrahim, sedangkan PKR tetap mahukan menukar Khalid Ibrahim.
Bagaimanapun, jika Anwar bersetuju dengan calon alternatif ini ia adalah
sesuatu yang memalukan Anwar dan PKR sendiri. Memandangkan Anwar sudah
membuat pengumuman bahawa Dr Wan Azizah adalah pengganti Khalid, hasrat
itu seharusnya diteruskan tanpa tunduk kepada kehendak pihak lain.
Kiranya bukan Dr Wan Azizah yang akhirnya dipilih menggantikan Khalid,
bukan saja saja Langkah Kajang sudah menjadi sumbang, malah lebih teruk
lagi ialah ia menjejaskan wibawa Anwar selaku Pengerusi Majlis Pimpinan
PR serta bakal Perdana Menteri Malaysia.
Anwar akan dilihat tidak lagi berwibawa kerana terpaksa tunduk kepada
kehendak serta kemahuan Pas sedangkan kerusi Menteri Besar Selangor
sudah dipersetujui selepas pilihanraya lalu adalah menjadi milik PKR.
Setiausaha Agung Pas, Mustaffa Ali sendiri memberi pengakuan bahawa
parti itu tidak akan menuntut kerusi yang sudah dipersetujui menjadi
milik PKR.
Dalam apa keadaan sekali pun, Anwar bukan saja perlu meyakinkan Pas dan
Haji Hadi mengenai pertukaran Khalid, bahkan mesti juga meyakinkan
bahawa penggantinya adalah Dr Wan Azizah. Jika calon selain daripada
itu, ia adalah kegagalan Anwar.
Sudahlah Pas sebelum ini menolak Azmin Ali, kini ia menolak pula Dr Wan
Azizah. Jika dua kali Anwar dan PKR tunduk kepada Pas, kepimpinannya
sudah tidak bernilai lagi.
Jika beliau gagal meyakinkan Pas dan Haji Hadi, keyakinan rakyat
terhadap kemampuannya sebagai bakal Perdana Menteri juga akan terhakis
dengan sendirinya.
Tambahan pula, dalam tragedi MH17 yang baru saja berlaku, Perdana
Menteri, Najib Razak telah menunjukkan kejayaan berunding dengan ketua
pemberontak Ukraine, Aleksander Borodai mengenai penyerahan kotak hitam,
penyerahan mayat kepada kerajaan Belanda untuk pengasingan dan forensik
serta akses yang selamat bagi pasukan penyiasat ke tapak kejadian.
Kejayaan Najib berunding telah menaikkan namanya di mata dunia,
sedangkan Aleksander adalah ketua pemberontak yang diketahui bersikap
ganas dan jarang tunduk kepada kemahuan pihak lain.
Kiranya di ketika Najib berjaya menghasilkan kejayaan berunding dengan
seorang ketua pemberontak yang diketahui ganas dan keras tetapi Anwar
pula masih terkial-kial untuk melembutkan hati Haji Hadi yang merupakan
rakan gabungannya sendiri dalam PR, ia adalah kegagalan paling nyata
sekali dari segi kepimpinannya.
Untuk meyakinkan rakyat terhadap kemampuannya sebagai bakal Perdana
Menteri dan pembawa agenda perubahan untuk negara, Anwar mesti
melembutkan hati Pas dan Haji Hadi serta akhirnya dapat menerima sebulat
suara pencalonan Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang
baru.
Bertolak ansur bukan lagi pilihan. Jika tidak, lupakanlah Putrajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan