Isnin, 11 Ogos 2014

BN sedia kembali bentuk kerajaan negeri di Selangor - Shamsudin Lias

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor bersedia untuk kembali membentuk sebuah kerajaan di Selangor jika Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut diadakan dalam masa terdekat.
 
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Shamsuddin Lias berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terbaharu politik di negeri ini yang menyaksikan Tan Sri Khalid Ibrahim digugurkan sebagai ahli PKR.
 
Khalid kini menjadi Menteri Besar bebas dan berikrar akan menjalankan tugasnya seperti biasa sehingga kemelut kedudukannya diputuskan sendiri Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. 
 
Khalid menyifatkan pemecatan itu sebagai melanggar perlembagaan PKR dan tidak adil kerana telah memohon penangguhan sesi penjelasan kepada Lembaga Disiplin tetapi tiada jawapan balas diberikan.
 
"Biarlah mereka (Pakatan) jadi pembangkang. DAP sudah terang menentang.
 
"Kita akan ambil peluang untuk meletakkan calon-calon supaya kita dapat capai kemenangan BN jika benar PRN akan berlaku," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Shamsuddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong turut menempelak tindakan drastik PKR itu terhadap Khalid dengan menyifatkan tembelang dan kegilaan kuasa Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin terserlah.
 
"Mereka tidak beri peluang pembelaan terhadap Khalid. Sedangkan beliau baru nak beri penjelasan. 66 kali kes liwat Penasihat Ekonomi Selangor ditangguh, tapi kes Khalid tidak ada (pembelaan)," ujarnya lagi.
 
PKR memberi alasan disebalik isu pemecatan Khalid itu dengan berkata ADUN Pelabuhan Klang itu terus melanggar arahan-arahan parti dan Pakatan Rakyat bersabit banyak perkara termasuk kenaikan gaji dan elaun mendadak ADUN dan Exco dan penstrukturan semula industri air.
 
Dalam isu penstrukturan semula air, Khalid menandatangani perjanjian tanpa memaklumkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang.
 
Malah tindakan Khalid memberikan alasan tidak masuk akal bersabit saman RM67 juta Bank Islam yang diselesaikan tiba-tiba “tanpa membayar sesen.”
 
Sementara itu, Shamsuddin turut kesal dengan tindakan pimpinan PKR yang menjaja dan mempertontonkan 'salah laku' Khalid di khalayak ramai melalui majlis-majlis penerangan yang diadakan baru-baru ini.
 
"Apabila datang kepada kepentingan peribadi, Anwar sanggup buang Khalid begitu sahaja dan mencari alasan. Hari ini mereka sanggup gunakan demonstrasi dan majlis penerangan untuk memburukkan pemimpin yang dahulunya disanjung dengan kata-kata hebat dan bunga yang wangi, namun kini semakin dahsyat, buruk sangat kepada Khalid. Umno pun tak buat begitu," katanya lagi.

Tiada ulasan: