MALAYSIAKINI
ULASAN Palestin mula
menjadi perhatian antarabangsa apabila kerajaan Britain pada 2 April
1947 mendesak supaya isu Yahudi dan Palestin dimasukkan sebagai agenda
Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tidak lama selepas itu, sebuah jawatankuasa antarabangsa telah
ditubuhkan untuk mengkaji dan membuat laporan mengenai isu Palestin.
Penubuhan jawatankuasa ini berakhir dengan pembahagian wilayah Palestin
kepada negara Arab dan negara Yahudi yang merdeka, sementara
Baitulmaqdis diletakkan bawah tanggungjawab antarabangsa.
Jelas sekali bahawa PBB tidak boleh diharap dalam menyelesaikan isu Palestin.
Penderitaan yang dialami oleh penduduk Palestin hingga kini masih belum
berakhir bahkan semakin teruk walaupun beberapa perjanjian damai,
persidangan, perundingan semuanya menemui kegagalan.
Dan rakyat Palestin memilih jalan lain, iaitu dengan penentangan dan
perjuangan jihad bagi membebaskan tanah air mereka yang dijajah secara
rakus oleh Yahudi Zionis.
Umat islam dunia harus sedar bahawa setiap inci tanah Palestin adalah
milik mereka setelah ia diwakafkan oleh Saidina Umar Al-Khattab sejak
dahulu lagi dan tiada hak bagi Yahudi mendiami Palestin walaupun
sejengkal.
Fatwa 63 ulama
Ulama Islam telah mengeluarkan fatwa yang jelas bahawa keseluruhan tanah
air Palestin hanyalah untuk umat Islam sebagaimana termaktub dalam
fatwa ulama-ulama antaranya fatwa Kesatuan Ulama Dunia yang diadakan di
India pada tahun 1935, fatwa ulama Iraq pada tahun 1937 dan fatwa ulama
Al-Azhar pada tahun 1947.
Kebanyakan fatwa yang masih dipegang oleh seluruh ulama dunia sehingga
ke hari ini ialah fatwa yang dikeluarkan pada tahun 1988 dan
ditandatangani oleh 63 orang ulama seluruh dunia.
Ia antaranya dipersetujui oleh Dr Najmudin Arbakan, Syeikh Mustafa
Mashur, Dr Yusof Al-Qaradhawi, Qadhi Husain Ahmad, Rashid Ghanushi, Dr
Fathi Yakan, Syeikh Mohammad Al-Ghazali dan Dr Wahbah Al-Zuhaili.
Fatwa itu menegaskan:
“Jihad (dengan senjata) adalah cara kita (umat Islam) berdepan dengan
Yahudi untuk membebaskan Palestin. Haram sama sekali memberi hak walau
satu inci sahaja daripada tanah Palestin kepada Yahudi.
“Begitu juga haram bagi orang perseorangan atau mana-mana institusi atau
kerajaan yang membenarkan Yahudi menjajah bumi Palestin.”
Fatwa ini perlu disambut oleh seluruh institusi fatwa dunia termasuk
Majlis Fatwa Kebangsaan di Malaysia selain umat Islam wajib membuat
pemulauan segala barangan Yahudi zionis.
Kaedah pemulauan adalah cara berkesan yang dilakukan Rasulullah SAW ketika baginda mentadbir Madinah.
Rasulullah boikot pasar Yahudi
Baginda SAW mengarahkan umat Islam agar membina pasar sendiri dan
bekerja dengan gigih serta meninggalkan pasar Qainuqa’ yang dimonopoli
oleh kaum Yahudi pada masa itu.
Tekanan yang sama perlu dimainkan oleh seluruh umat Islam dunia bahkan
menjadi kewajipan para ulama, mufti mengeluarkan kenyataan rasmi memulau
barangan mereka dengan disenaraikan secara rasmi barangan tersebut
setelah disahkan oleh pihak berkaitan.
Kerajaan Malaysia juga perlu memutuskan dengan kadar segera hubungan
dagang dengan Yahudi Israel walau dalam apa jua bentuk sekalipun.
Hentikan segera pelaburan atau penjualan minyak sawit kepada mereka kalau benar kerajaan Malaysia ikhlas ingin membantu Gaza.
Kami menuntut kerajaan Malaysia jangan hanya pandai menyalurkan
sumbangan kepada rakyat Gaza dalam masa yang sama terus melantik
perunding yang didalangi Israel sebagai penasihat kerajaan.
Kenyataan menteri perdagangan antarabangsa dan industri beberapa hari
lepas yang menyatakan kerajaan perlu mengkaji untuk memutuskan hubungan
dagang adalah tidak tepat dalam situasi dunia menyaksikan kekejaman
Yahudi Zionis ke atas umat Islam Gaza.
Kalau Britain RedRat boleh umumkan secara rasmi penamatan kontrak mereka dengan Israel kenapa tidak kita Malaysia!
MOHD ASRI MAT DAUD adalah naib ketua Pemuda PAS Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan