Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berpendapat Malaysia tidak boleh bankrap jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah negara ini sekaligus menafi dakwaan UMNO-Barisan Nasional (BN) yang mempolitikkan isu berkenaan.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, momokan Malaysia akan bankrap di bawah PR sekadar modal politik murahan untuk menakutkan rakyat dan mengekalkan kuasa mereka.
“Kejayaan mentadbir kerajaan negeri PR membuktikan kenyataan Musa itu bersandarkan rasional dan fakta tanpa mempolitikkannya,” kata Pua.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu memberikan contoh kejayaan yang dicapai negeri yang ditadbir PR adalah membanggakan malah lebih cemerlang berbanding negeri yang ditadbir BN.
“Kerajaan Pulau Pinang dan Selangor terbukti dapat meningkatkan rizab kewangan negeri dengan banyak dan mengurangkan hutangnya dengan Kerajaan Persekutuan.
“Bagi DAP perkara paling penting adalah dasar ekonomi yang mampu bersaing secara sihat. Maksudnya, semua perolehan atau pelaksanaan projek adalah telus, bermutu dan menjimatkan kos,” jelas beliau.
Tambahnya, melalui dasar itu sahaja, ia dapat menjimatkan berbilion wang negara dan boleh diguna untuk menurunkan harga kenderaan, menghapuskan tol, pendidikan percuma dan sebagainya seperti yang diumumkan dalam Manifesto Rakyat.
“Dasar berkenaan, tidak mungkin akan membankrapkan negara,” katanya.
Semalam, Musa menganggap dakwaan Malaysia akan bankrap jika ditadbir PR semata-mata kenyataan bermotif politik.
Musa menyatakan bahawa jika pihak oposisi berjaya mengambil alih Putrajaya, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan ekonomi negara supaya berkembang dengan baik.
“Jika pembangkang memerintah, mereka tidak akan membuatkan pelabur dari luar negara lari. Mereka tidak akan berbuat demikian dan menjadikan ekonomi bankrap,” kata beliau. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan