Selasa, 12 Mac 2013

Tinggal berapa hari saja lagi BN akan jadi pembangkang


Oleh ZULKIFLI YAHAYA

SELAGI media utama negara memihak kepada BN maka selagi itu pemikiran rakyat cuba dipaksa untuk mempercayai apa-apa isu mengikut versi parti yang memerintah. Pemikiran rakyat dikepung untuk menyukai atau membenci sesuatu sama seperti sikap para pemimpin politik yang berkuasa.

Rakyat seolah-olah dipaksa untuk menganuti kepercayaan yang seringkalinya tiada kena mengena dengan persoalan kehidupan mereka.

Naib Presiden KeADILan, Tian Chua, mengkritik Umno dalam isu pencerobohan tentera Sulu di Sabah. Dia mendakwa Umno sebagai melakukan konspirasi untuk memburukkan pembangkang apabila tidak fasal-fasal Anwar Ibrahim dilibatkan sebagai pihak yang mengundang tentera Sulu. Kononnya pendedahan oleh badan perisikan Filipina.

Kebetulan sehari dua selepas mengeluarkan kenyataan itu ada anggota polis yang mati kerana serangan tentera Sulu. Maka bertubi-tubilah Tian Chua diserang oleh para penjilat kerajaan yang memerintah kononnya beliau mempersenda kematian anggota polis walhal beliau sewaktu mengeluarkan kenyataan tiada seorang yang terbabit dalam krisis terbunuh.

Media talibarut BN menghasut bekas anggota polis, kaum keluarga mangsa serta orang ramai yang tiada kena mengena dalam krisis di Sabah untuk memarahi Tian Chua.

Maka berbondong-bondonglah rakyat Malaysia bagai dirasuk hantu berdemonstrasi menyatakan kemarahan. Mereka membakar gambar Tian Chua dan bendera KeADILan. Kata-kata yang tertera di sepanduk usah dikira celuparnya.

Pasca PRU2 hingga ke saat ini rakyat Malaysia dapat menyaksikan bantahan demi bantahan terhadap pelbagai isu yang melibatkan serangan peribadi terhadap pemimpin Pakatan.

Haji Mohamad Sabu, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dato' Seri Nizar Jamaludin, Karpal Singh, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Ngeh Koo Ham adalah antara tokoh yang mendapat bantahan bersiri seperti itu. Mereka diserang bertalu-talu dan berhari-hari dari semua penjuru ala serangan 'Desert Storm' di Iraq.

Modus operandi yang diformulakan oleh para pemuka perkauman Melayu itu sama sahaja iaitu, mengubah maksud asal kenyataan pemimpin Pakatan lalu menyemarakkan kebencian rakyat terhadap pemimpin tersebut dengan hasutan tidak berasas.

Tindakan bantahan mereka langsung tidak digerakkan oleh perhitungan akal dan ilmu. Semuanya berlandaskan nafsu amarah serta dendam kesumat. Bantahan mereka hanya untuk memaki hamun atau melepas geram. Tiada agenda dan matlamat. Mereka tidak kenal hujah, muzakarah, forum atau debat.

Dalam masyarakat bertamadun, tindakan seperti itu biasanya dilakukan oleh golongan yang kurang menggunakan akal untuk bertindak.

Mereka hanya minoriti tetapi kumpulan yang minoriti ini yang diberi publisiti meluas oleh media yang dikuasai parti yang memerintah bagi menggambarkan seolah-olah ‘satu dunia sedang marah’.

Media konvensional lagi primitif di Malaysia sebenarnya cuba menghidangkan isu ini terhadap kalangan rakyat yang tersisih daripada maklumat di media baru.

Kecenderungan Umno-BN menggunakan kaedah mengapi-apikan kemarahan atau menyemarakkan kebencian terhadap sesuatu isu remeh yang putarbelitkan dibuat kerana mereka percaya masih ada kalangan dalam masyarakat yang boleh dilentur kecenderungan berfikirnya melalui permainan itu.

Sebenarnya belum ada bukti bahawa kaedah itu berkesan. Ia hanya satu percubaan, boleh jadi berkesan dan boleh jadi juga memakan diri sendiri apabila ia membangkitkan simpati orang ramai akibat teruk dibelasah.

Tiada objektif tuntutan mereka melainkan untuk melepas geram semata-mata atau sekadar menunjuk keangkuhan dan kesamsengan, persis Sharif Dol yang mendabik dada 'jangan main-main dengan aku, ini samseng Kampung Dusun'.

Mereka nampaknya masih berada di era pra tamadun, di mana kekuasaan ialah kekuatan fizikal, bukan kekuatan akal dan hati budi.

Cara mengeksploit isu kelihatan berbeza sama sekali dengan tindakan oleh Pakatan Rakyat. Demonstrasi dan segala rentetan bantahan dikendalikan secara lebih profesional. Ada butiran tuntutan atau bantahan, berfakta dan yang paling penting ada hala tuju atau matlamat. Tuntutan hapuskan ISA, tuntutan Bersih, tuntutan Hijau Lynas, tuntutan Royalti Minyak, tuntutan Penghapusan PSMI, pembelaan terhadap Felda, Bongkar 403 dan sebagainya semua jelas bermatlamat. Rakyat nampak apa yang diperjuangkan.

Pakatan Rakyat tidak pernah melancarkan demonstrasi mengecam peribadi Rosmah Mansor, Najib Razak, Chua Soi Lek, Shafie Afdhal, tidak pernah membakar bendera parti lawan mahupun memijak gambar para pemimpin mereka. Di sini letaknya kebijaksanaan Pakatan berbanding BN.

Tinggal berapa hari saja lagi insya-Allah BN akan jadi pembangkang di negara ini.

]Jika watak bangkang tanpa objektif ini diteruskan nanti, maka negara dalam kancah bahaya. Namun jika dibiarkan terus memimpin kerajaan pula negara akan punah ranah angkara mereka. Mudarat jika pimpin kerajaan itu nampaknya lebih besar, maka baiklah BN jadi pembangkang saja.

Tiada ulasan: