Isnin, 4 Mac 2013

Siapa PM baru Umno?


Oleh SHIRZAD LIFEBOAT


BN kalau nak menang, kena umum calon PM baru.”

Begitulah tajuk sebuah laporan Harakahdaily (28 Feb 2013). Portal berita berkenaan memetik secara langsung sumber dalaman Umno sendiri. Maksud tajuk tersebut adalah terjelas dengan sendirinya.

Dalam pada pemimpin Umno-BN begitu gundah gulana memikirkan apa yang terdapat dalam stor untuk mereka pasca PRU13, keadaan sekeliling tidak lagi seindah bunga mawar. Bukan sahaja apa yang dibuat oleh Perdana Menteri Najib Razak jelas semuanya tidak kena, tapi pelbagai laporan, analisis, kajian daripada banyak pihak menunjukkan BN sedang menghadapi hari-hari terakhir parti itu selaku kerajaan yang memerintah.

Pada mulanya, barangkali setahun dua lalu tatkala perihal PRU13 mula terapung di kalangan rakyat Malaysia dan juga dunia luar, BN yakin kebarangkalian mengekalkan status quo (iaitu kedudukan seperti selepas PRU12) bukanlah satu pertempuran sengit. Ia mungkin tidak semudah makan kacang goreng sambil menonton drama TV di ruang tamu rumah, tetapi bagi kebanyakan pemimpin BN, sama ada yang Umnonya atau MCAnya dan lain-lain ia tidak sukar dan boleh dilakukan.

Begitupun , di sebalik pelbagai pendedahan isu serta skandal dalam skala berbilion-bilion ringgit melanda kerajaan BN, Najib serta yang lainnya begitu yakin, kali ini BN akan memperolehi dua pertiga majoriti dalam Dewan Rakyat sekaligus mencairkan pengaruh dan cengkaman Pakatan Rakyat dalam Dewan tersebut.

Namun, di saat-saat akhir menjelang PRU13, semakin ramai di kalangan pemimpin Umno-BN sendiri sudah percaya dengan hasil laporan, kajian dan analisis yang menunjukkan BN bukan sahaja tidak akan mampu memperolehi dua per tiga daripada 222 kerusi Parlimen malah tidak juga mampu memperolehi jumlah kerusi yang membolehkan mereka menang dengan majoriti mudah.

Malah seminggu lalu ada desas-desus yang mengatakan supremo tidak rasmi Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu perjumpaan tertutup mengumukan maklumat risikan terbaru menunjukkan BN hanya mampu memperolehi kira-kira 80 kerusi Parlimen.

Dr Mahathir tentu ada sebab tersendiri mengapa beliau cukup takut sekiranya BN tewas di peringkat Persekutuan. Begitu juga Najib dan ramai pemimpin Umno. Pentadbiran Pakatan Rakyat kelak bukan sekadar sebuah pentadbiran kerajaan mengenai ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat serta keadilan dan ketelusan tetapi juga memastikan sistem kehakiman dipulihkan. Ini bermakna sesiapa sahaja, bergelar atau mantan apa sekalipun adalah setara dan sama rata di mata pengadilan.

Dengan tarikh ramalan terakhir pembubaran Parlimen pada 22 Februari lalu telah berlalu dan Najib pula sudah membayangkan akan cuba membeli masa lagi atas alasan memastikan transformasi sebagaimana persepsi beliau perlu dicapai terlebih dahulu, besar kemungkinan PRU13 akan diadakan pada kira-kira 20 Jun 2013 setelah Parlimen dengan sendirinya terbubar pada 24 April 2012.

Jika ini berlaku maka langkah terdesak yang masih ada bagi menyelamatkan BN dan sekali gus menyelamatkan Dr Mahathir, dan malahan menyelamatkan Najib sendiri serta pemimpin dan konco-konco Umno-BN dari apa juga musibah andai kata Pakatan Rakyat menjadi kerajaan ialah dengan menggantikan orang lain selaku Perdana Menteri terbaru dalam masa lebih kurang empat bulan berbaki ini.

Namun, persoalannya bagi orang Umno sendiri siapakah yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri menggantikan Najib sebelum pilihan raya umum. Logiknya tentulah Muhyiddin Yassin. Bukan sahaja kerana dia adalah TPM dan dikatakan diunjuk oleh Dr Mahathir ketika ini tetapi juga kerana ia merupakan tradisi Umno yang ‘tak lapuk dek hujan’.

Jika benar Muhyiddin menggantikan Najib yang secara suka rela turun dari takhta Seri Perdana, maka apakah beliau boleh diterima oleh majoriti penganut Umno sedangkan ramai masih ingat bagaimana namanya dikaitkan dalam pemilihan Umno beberapa edisi lampau sehingga membolehkan beliau dipilih sebagai Timbalan Presiden walaupun dari segi populariti di kalangan Naib Presiden, Muhyiddin adalah tercorot.

Atau apakah Mahathir, yang sentiasa merasakan dirinya paling pandai, boleh menerima Muhyiddin yang tahap keintelektualan politiknya tampak sebagai tidak melebihi kadar purata. Dan bolehkan pengundi yang pada mulanya akan mengundi Pakatan Rakyat tetapi kononnya akan mengubah selera untuk memangkah BN kerana pertukaran Perdana Menteri ini menerima Muhyiddin yang mereka anggap kebanyakan kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran hanyalah tidak lebih daripada logik mudah atau, lebih kerap daripada tidak, tak logik sama sekali.

Bagaimana pula tentang Hishammuddin Hussein. Rasanya sukar bagi rakyat untuk menerima beliau. Bukan sahaja rakyat tidak suka dengan suara serak-serak basah beliau yang langsung tak sesuai sebagai suara pemimpin, dan bukan sahaja mereka bosan dengan kenyataan ‘kerajaan tidak akan berkompromi’ tetapi penyokong Pakatan Rakyat dan penyokong Umno-BN sendiri sependapat betapa minda Hishammuddin sebenarnya kosong – maknanya tak bijak, tak cerdik dan tidak akan mampu memberi apa-apa sumbangan baik kepada negara atau kepada rakyat.

Mengenai Shafie Afdal, orang dah tahu. Dan mengenai Zahid Hamidi pula, kata orang kalau kail panjang sejengkal, jangan kata lautan, Selat Melaka pun tak boleh nak diduga.

Maka rumusannya, selain wang ringgit yang bakal ditaburkan dan telah ditaburkan dalam bentuk pelbagai pemberian “BRIM”, Umno-BN sudah kehabisan kesemua talian hayatnya.

Benarlah kata bekas pemimpin Pemuda Bahagian Umno, Shahbudin Hussein apabila beliau menulis dan menerbitkan bukunya ‘Najib Perdana Menteri Teakhir…” Dan bagi seorang lagi pengarang yang dulunya pro-Umno, SH Alattas atau Pak Habib tidak perlu lagi mentalkinkan Umno sebagaimana yang dilakukan oleh beliau dalam sebuah buku yang ditulisnya pada 1988 tetapi memadailah dengan buku terbaru beliau “Anwar Ibrahim Perdana Menteri, Siapa Mati?”

Mungkin sudah sampai masanya Dr Mahathir dan juga juak-juak Umno-BN ‘memandang ke Timur’ sambil mengucapkan ‘sayonara’ kepada kebebasan dan kuasa.

Tiada ulasan: