DETIK DAILY
PILIHAN
Raya Umum Ke-13 (PRU13) bakal melibatkan ramai pengundi baru yang
ternyata daripada golongan muda. Jadi hal ini memberi cabaran kepada
setiap pertahanan parti terutamnya daripada pemudanya.Bagi mengupas cabaran yang bakal dihadapi oleh pemimpin muda parti pada pilihan raya kali ini, SINAR HARIAN ONLINE berpeluang menebual SHAMSUL ISKANDAR MAT AKIN, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK). Selepas temu bual ini dikendalikan, Shamsul Iskandar, yang juga seorang peguam, diumumkan sebagai calon PKR bagi kerusi Parlimen Bukit Katil, Melaka.
SINAR HARIAN ONLINE: Boleh Encik Shamsul berkongsi dasar dan pendekatan perjuangan AMK selepas 14 tahun penubuhan PKR?
SHAMSUL ISKANDAR: Saya akan mulakan dengan pendekatan terlebih dahulu. Kita telah melalui beberapa fasa yang amat penting membabitkan dengan politik di mana pembabitan orang muda itu sangat signifikan.
Oleh kerana saya membesar dengan pemuda, kita mulakan dengan Pergerakan Pemuda Keadilan Nasional pada tahun 1999 kemudian bertukar nama kepada Pergerakan Parti Pemuda Rakyat setelah berlaku penggabungan parti.
Selepas itu, AMK tercipta setelah saya memimpin AMK, kita popularkan nama ini. Kita telah melalui beberapa fasa, pada peringkat awal kita kehadapan dengan melakukan aksi-aksi demonstrasi kerana kita fikir keadilan ini adalah satu perkataan yang seksi untuk orang muda. Pada tahun 1999, sokongan orang muda dirancakkan dengan demonstrasi ke jalanan, kita lalui proses itu agak lama.
Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk penjara dan sehingga keluar penjara, pendekatan kita sedikit berbeza. Kita lebih tertumpu kepada untuk memenangi pilihan raya, gerak kerja kita tertumpu ke situ dari segi bertemu pengundi, mengajak pengundi-pengundi muda yang sebahagian besarnya tak bersama kita pada reformasi dahulu. Jadi sudah tentulah kali ini pergerakkan kita terus kepada pengundi.
Selepas itu, sekarang kita berhadapn dengan fasa reformasi 3.0. Kita sediakan pimpinan muda ini mengambil alih kerajaan. Kita telah menggerakkan minda dan tenaga kita untuk mengambil alih kerajaan.
Selain itu, dengan pengumuman yang dibuat oleh Anwar, memberi peluang sebanyak 30 peratus kepada golongan muda pada PRU13, menjadikan kita sedikit berbeza dengan parti-parti lain.
Kita memberikan bukan sekadar ruang untuk bergiat aktif tetapi peluang. Ini juga parti masa depan, yang memberi peluang untuk golongan muda untuk menentukan masa depan mereka.
SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana dengan keanggotaan dalam AMK sekarang?
SHAMSUL ISKANDAR: Jumlah keanggotaan parti sekarang ini telah mencecah lebih kurang 800,000. Pada tahun 2012, jumlah anggota AMK yang berumur 35 hingga 40 tahun itu mencecah hampir 300,000.
Jadi, ini menunjukkan jumlah tersebut satu per tiga anggota parti merupakan orang muda yang menyertai AMK yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa termasuk Sabah dan Sarawak.
SINAR HARIAN ONLINE: Kalau kita imbas keputusan PRU12, sebahagian besar pengundi baru khususnya remaja memilih pembangkang, khasnya PKR. Apakah yang akan dilakukan oleh AMK untuk memastikan pengundi ini kekal bersama PKR?
SHAMSUL ISKANDAR: Kita telah lancarkan Dokumen Merah, yang berbentuk lima gagasan kepada orang muda seperti pendidikan, perumahan, peluang pekerjaan, menaik taraf pengangkutan awam yang lebih efisien dan penghapusan PTPTN.
SINAR HARIAN ONLINE: Apakah hala tuju dan matlamat AMK pada PRU13 ini?
SHAMSUL ISKANDAR: PRU13 ini, AMK akan memberi mesej dan isyarat kepada pemimpin senior bukan hanya pemimpin PR tetapi juga Barisan Nasional (BN). Golongan muda perlu mengambil peluang yang diberikan kepada AMK ini sebagai platform untuk terlibat di dalam politik. Kita ingin mengubah pemikiran orang muda bahawa politik ini bukan hanya untuk orang lebih senior tetapi politik adalah satu bidang yang sepatutnya digerakkan secara aktif oleh golongan muda.
Ini kerana golongan muda mempunyai kekuatan, ketidaksabaran dalam meneruskan perjuangan dan beberapa elemen yang saya lihat penting dalam menghadapi cabaran PRU13.
Golongan muda juga pencetus perubahan dalam dunia politik, ia tidak lagi bergantung kepada undi daripada golongan pertengahan tetapi golongan muda. Golongan muda juga sebagai satu kekuatan politik baru atau 'third force' yang akan memberi perubahan pada PRU13.
Pendekatan kempen sihat
SINAR HARIAN ONLINE: PKR adalah sebuah parti politik yang baru berbanding parti lain dan wujudnya disebabkan reformasi, jadi apakah reformasi yang AMK buat khususnya untuk menghadapi PRU13?
SHAMSUL ISKANDAR: Reformasi ini cukup luas, ia lebih sesuai diungkapkan dalam bentuk al-Islah, maknanya kita memperbaiki dan kita melakukan usaha reformasi ini sehebat mungkin.
Oleh yang demikian, kita cuba melantik seorang penyanyi sebagai duta untuk mempromosikan pilihan raya yang bersih dan berkempen secara sihat. Ini juga sebahagian daripada kita untuk melakukan reformasi secara berkempen.
Kita lihat pihak lawan jugak menggunakan pendekatan mereka yang melakukan tindakan yang begitu ekstrem, fitnah dan sebagainya. Ini kempen kotor dan tak sihat. Jadi kita gunakan pendekatan dan kempen secara sihat dengan bantuan artis.
Selain itu, kita juga boleh menggunakan pendekatan berhujah dengan fakta atau berdebat. Terutama antara Anwar dan Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam pentas politik, agar apabila tiba pilihan raya, kita boleh berkempen dengan cukup sihat.
Bukan hanya di peringkat antara calon perdana menteri tetapi di peringkat negeri.
Saya selari dengan pandangan atau dasar parti dalam soal reformasi seperti harga minyak, penurunan harga barang dan sebagainya. Kita juga berubah dari segi pemikiran dan sebagainya.
SINAR HARIAN ONLINE: Benarkah ada dakwaan yang mengatakan AMK terlibat secara langsung dengan aktivis mahasiswa yang menentang kerajaan? Sejauh mana kebenaran ini?
SHAMSUL ISKANDAR: Secara rasminya kita pendukung perjuangan mahasiswa untuk membebaskan mereka daripada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku). Dalam Buku Merah, jika AMK diberi peluang untuk memimpin, Auku akan dihapuskan dan universiti akan diberi kuasa autonomi.
Saya juga memandang serius insiden yang berlaku terhadap mahasiswa yang turun ke Pekan untuk berkempen.
Dalam insiden serangan itu, kita syak ia dilakukan oleh pengikut BN. Pada saya mahasiswa yang berkempen dan menyampaikan mesej kepada rakyat dari segi perspektif mereka tidak perlu dihalang.
Saya mengambil satu prinsip. Jika ada mahasiswa yang memerlukan pertolongan atau seperti insiden di Pekan, dan bantuan keselamtan, jadi saya bersedia untuk mengerahkan tenaga untuk masuk campur, namun jika tiada permintaan, kita berpendirian untuk tidak masuk campur dalam urusan kempen mereka. Kita tak perlu ganggu.Pada saya, mahasiswa perlu diberi peluang untuk mempelajari dan mereka juga sebagai pemimpin masa depan negara.
SINAR HARIAN ONLINE: Disebabkan PRU13 semakin hampir, adakah AMK meletakkan calon dalam pilihan raya kali ini? Kalau ya, bagaimana cara pemilihan calon tersebut? Siapa yang terlibat dengan pemilihan calon tersebut?
SHAMSUL ISKANDAR: Ya memang kita akan meletakkan calon. Proses pemilihan agak teliti untuk kita mengekalkan rekod. Contohnya, dari segi lompat parti seperti PRU lalu. Jadi pada tahun ini, calon AMK telah melalui proses yang lebih ketat, nama-nama yang dicalonkan oleh cabang, kemudian ke negeri, negeri membuat tapisan, dan negeri mencadang kepada kami di peringkat pusat.
Saya selaku Ketua AMK juga meminta beberapa pimpinan AMK untuk turun ke bawah dan semak semula senarai calon yang diserahkan kepada pusat. Kemudian AMK Pusat akan serahkan senarai nama calon kepada Ketua Umum PKR dan Presiden selepas melalui tiga tapisan. Tapisan pertama di peringkat Dun, kedua diperingkat Parlimen dan diperingkat calon simpanan.
Kita juga tentukan beberapa kriteria dari segi kesetiaan dan perjuangan mereka dalam parti. Kita ambil yang lama dan juga calon baru. Selain itu, kita juga tekankan kelayakkan akademik terutama di peringkat Parlimen. Mereka perlu pandai berhujah di Parlimen, Dun. Kita ambil semua kelayakan, ada yang bekerja biasa, namun disebabkan komitmen kita letakkan juga.
Ada juga golongan muda dari kaum Orang Asal, ini bermakna semua orang muda tanpa mengira kaum, agama, dan bangsa kita tonjolkan dan memberi ruang serta peluang kepada mereka.
Kita juga sasar seramai 100 calon daripada AMK yang akan dipertandingkan pada PRU13 termasuk di Dun dan Parlimen.
SINAR HARIAN ONLINE: Apa manifesto yang dibawa oleh AMK kepada rakyat berbanding BN yang dirasakan mampu menarik undi rakyat?
SHAMSUL ISKANDAR: Kita ada Dokumen Merah yang berkaitan pendidikan percuma, rumah mampu milik dan sebagainya. Kita juga akan mewujudkan dua yayasan khas terhadap orang muda seperti Yayasan Budaya dan Yayasan Sukan Anak Muda Malaysia. Kita harap kita mampu membantu anak muda di kampung dan akan merancakkan lagi kegiatan di sana. Gologan muda ini juga akan lebih mempunyai arah tujuan.
Jadi kita ada satu kaedah dan pendekatan yang lebih efektif untuk membantu golongan muda. Kita tak mahu kerajaan baru nanti menyalahgunakan duit peruntukan yang diberikan seperti BN lakukan.
SINAR HARIAN ONLINE: Sejauh mana kerjasama AMK dalam Pakatan Rakyat, khususnya bersama Pemuda Pas dan Pemuda DAP?
SHAMSUL ISKANDAR: Alhamdulillah, saya bersyukur kerana semangat muafakat yang wujud di antara kita sebelum tahun 2008. Malah bukan kita mengadakan mesyuarat secara formal, tetapi kita juga mengadakan aktiviti seperti yang terbaru Himpunan Kebangkitan Rakyat (#KL112). Kita juga bersama-sama turun ke peringkat bawah untuk berkempen yang dinamakan 'Road to Kuala Lumpur'.
Kita juga membantu Pemuda Pas untuk mengedar tawaran pemuda parti itu yang diambil daripada buku ucapan Negara Berkebajikan. Jadi daripada aktiviti, mesyuarat dan muafakat kita itu, alhamdulillah kita lebih baik.
Kita juga menggunakan kemudahan teknologi seperti "wassapp" untuk berkongsi pandangan, berbincang dan sebagainya. Kita telah tubuhkan kumpulan wassapp ini pada tahun 2012 yang dinamakan Majlis Pemuda PR.
Isu-isu kontroversi
SINAR HARIAN ONLINE: Sejauh mana isu-isu kontroversi seperti hudud dan kalimah ALLAH boleh menggugat sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam PRU13?
SHAMSUL ISKANDAR: Saya melihat ada trend kurang baik terhadap kempen BN. Pada tahun 1999 kempen BN pada masa itu lebih kepada isu ketegangan kaum. Namun sekarang isu itu tidak lagi relvan, BN wujudkan pula isu agama, walaupun isu ini sudah diselesai diperingkat PR.
Dalam isu ini, saya juga nak tanya apa pendirian BN tentang isu kalimah ALLAH ini? Jangan heret semua PR, kita telah putuskan walaupun Majlis Syura ada keputusannya dan sedikit berbeza tetapi itu sihat. Kita hormat keputusan institusi yang wujud seperti Majlis Syura. Isu-isu ini juga tak akan mengganggu rakyat sehingga hilang arah.
Ini hanya mainan politik BN. Kita, Pemuda tak pernah masuk campur dalam isu ini.
Kita lebih bertoleransi antara satu sama lain dan perkara itulah yang sedang kita kempenkan kepada rakyat supaya tidak ada prejudis dan prasangka di kalangan rakyat.
SINAR HARIAN ONLINE: Bercakap mengenai sokongan golongan muda, BN khususnya Pemuda Umno juga mendakwa mereka ada sokongan kuat, sudah ada peralihan sokongan kepada mereka selepas PRU12. Apakah komen Encik Shamsul?
SHAMSUL ISKANDAR: Saya tidak bimbang dengan kenyataan BN yang mengatakan ada perubahan yang kuat kepada parti itu. Kalau betul seperti yang didakwa, mereka (BN) tidak akan memperkenalkan Bantuan Lesen 1 Malaysia (BL1M) untuk menarik sokongan orang muda.
Program itu baik, tetapi usaha terakhir BN untuk menarik golongan muda, namun membimbangkan Pemuda BN juga mengenai komitmen kerajaan dari segar dasar yang diumumkan tidak memberi manfaat kepada orang muda.
Berbagai-bagai program telah diberikan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Jika mereka cukup yakin golongan muda sokong, tak perlu untuk menabur wang kepada rakyat. Ini hanya 'one off', sepatutnya perlu mencari dasar yang boleh membantu rakyat dan meringankan beban.
Bagaimanapun AMK tidak begitu selesa walaupun dalam kajian ternyata orang muda masih lagi bersama PR. Oleh kerana itu, kita melancarakan beberapa program dan berkempen bertemu kelompok sasar. Ini bermakna kita bekerja bersungguh-sungguh untuk rakyat khususnya golongan muda.
SINAR HARIAN ONLINE: Apakah cabaran paling besar yang diduga dan dijangkakan oleh AMK pada PRU13, kali ini?
SHAMSUL ISKANDAR: Cabaran boleh dilihat dari segi dalaman dan luaran. Dari segi dalaman, untuk menggerakkan jentera AMK. Jentera AMK terdiri daripada pelbagai peringkat umur, bangsa, pekerjaan dan sebagainya.
Mereka perlu memikirkan kerja-kerja mereka sebelum melibatkan diri dalam politik. Ini cabaran yang paling besar untuk menggerakkan dan mengaktifkan jentera itu seratsus peratus untuk membantu parti dengan penuh dedikasi. Dalam parti. kita tak galakkan dengan wang, semua kerja perlu dilakukan secara sukarela. Bagaimanapun saya positif.
Cabaran luaran, sebagai barisan hadapan muda parti kita prihatin terhadap usaha-usaha ke arah keganasan yang dilakukan oleh Pemuda BN khusunya ejen-ejen mereka. Kita juga berharap pihak berkuasa pandang serius isu ini, ada juga mendakwa kita akan membuat huru-hara jika kita kalah kali ini.
Itu tidak tepat kerana kita sudah kalah selama 12 kali tak pernah ada huru-hara yang timbul. Kita bimbang jika PR yang berjaya di peringkat Pusat, adakah BN akan menerima kenyataan ini. Jadi inilah cabaran kepada AMK dari segi luaran.
SINAR HARIAN ONLINE: Ramai bercakap mengenai peluang PR untuk menang PRU13 di peringkat pusat. Adakah Encik Shamsul sebagai ketua AMK juga yakin dengan kemungkinan itu?
SHAMSUL ISKANDAR: Insya-ALLAH yakin dengan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat.
SINAR HARIAN ONLINE: Jika begitu yakin, mengapa Encik Shamsul yakin. Apakah faktor-faktor yang membawa anda yakin sangat?
SHAMSUL ISKANDAR: Kita sering bertemu dengan masyarakat di kedai kopi, dan sebagainya. Saya juga memberi ceramah, kita tak ada protokol secara rasmi, kita lebih santai. Saya dapat melihat keyakinan yang diberikan lebih meyakinkan.
Dahulu kita tidak dapat menembusi pengundi pos, namun sekarang dengan komitmen daripada bekas tentera sendiri, merancakkan lagi kempen untuk kita orang muda bergerak menyasarkan kepada kelompok itu. Kita telah susun dari satu peringkat ke peringkat. Jadi Insya-ALLAH kita yakin kita dapat menawan Putrajaya pada PRU13 ini.
Keperluan Kuasa Tiga
SINAR HARIAN ONLINE: Kebelakangan ini, adalah satu gelombang 'Kuasa Ketiga' khususnya melibatkan NGO Islam. Bagaimana anda melihat perkara ini, perkembangan ini?
SHAMSUL ISKANDAR: Kuasa ketiga ini saya fikir sebahagiannya adalah BN, malah kita bergerak dua parti PR dan BN. Kuasa ketiga ini relevan apabila PR itu telah didaftarkan. Pada masa kini, PR belum didaftarkan kita bergabung dalam PR tetapi mewakili parti PKR, Pas dan DAP.
Jadi apabila wujud kelompok kecil ini menjadi "pengacau" kepada PR. Saya yakin sebahagian besarnya merupakan rekayasa dan inisiatif daripada BN untuk membuat kacau dalam undi. Mereka ini pula muncul sekarang, bukannya sejak awal, jadi sudah tentulah syak itu lagi kuat. Kenapa perlu ada kelompok ketiga setelah negara kita bergerak dalam dua sisitem parti.
Namun saya tidak terlalu bimbang dengan kewujudan ini, tetapi saya mahu berikan nasihat supaya tidak perlu membuat gangguan dalam usaha PR mengambil alih Putrajaya. Mereka boleh bergabung di kalangan tiga parti ini dan menyatakan sokongan serta bekerjasama. Apabila kita berjaya ambil alih Putrajaya nanti, sudah tentu keompok-kelompok ini untuk memberi khidmat mereka kepada yang memerlukan.
Jadi kuasa ketiga ini tidak perlu wujud pada waktu sekarang, tidak relevan kerana tidak ada perkara yang perlu disemak. Pada saya elok dihentikan dan membuat penggabungan dengan PR jika mereka mahu perubahan. Namun saya juga ingin tahu adakah mereka hanya "seronok" untuk menjadi calon atau mempunyai misi dan visi untuk mengubah Malaysia?
Lima tawaran AMK
SINAR HARIAN ONLINE: Tawaran anda sebagai pemimpin pergerakan muda kepada pengundi? Mengapa mereka harus mengundi PR khususnya PKR?
SHAMSUL ISKANDAR: Kita ingin tawarkan kepada orang muda satu platform politik yang dinamik, progresif dan mempunyai prinsip keadilan yang tegas. Keduanya AMK ini adalah satu platform untuk memberi peluang kepimpinan dalam aspek kepimpinan yang sebenar.
Bukan hanya kepimpinan dalam AMK tetapi sebagai wakil rakyat.
Ketiganya kita bagi perkenalkan dasar-dasar yang baik bersifat jangka panjang dan meningkatkan ekonomi khususnya kepada golongan muda. Yang keempat sudah tentunya kita menawarkan kerajaan yang jauh lebih bersih.
Kita bagi pembangunan yang seimbang dan sebagainya. Kelima adalah reformasi atau perubahan kepada negara yang buruk kepada negara lebih baik. Jadi melalui lima perkara inilah, rakyat perlu mengundi PR khususnya orang muda.
SINAR HARIAN ONLINE: Encik Shamsul selalu dilabel sebagai ketua gerakan demonstrasi. Sejauh mana label ini menguntungkan dan merugikan Encik Shamsul.
SHAMSUL ISKANDAR: Untungnya ialah saya rasa mempunyai kelebihan berbanding Pemuda BN. Saya lebih berani menghadapi risiko. Saya juga mahu dilikat mempunyai prinsip, jika betul kita berjuang menentang hatta ke jalan raya sekalipun.
Saya tahu berapa ramai orang kutuk saya apabila saya membuat demontrasi di dalam masjid, namun itu kerana ada perkara yang tidak harus dilakukan. Jadi saya pertahankan, tetapi jika perkara itu relevan saya tidak takut untuk melakukannya.
Ruginya, saya ingat orang mungkin merasa takut untuk bertemu dengan saya. Saya dikatakan garang, kadang-kadang bahasa yang saya gunakan sedikit terlampau, namun itu realiti yang terpaksa saya tempuh. Namun dengan sikap saya yang berani mengkritik, saya juga berani untuk terima kritikan. Jadi dari segi itu saya tidak ada masalah untuk menerima kritikan yang datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan