Rabu, 27 Mac 2013

Pengerusi DAP Bukit Permai terima ‘peluru’ dalam sampul surat putih

Roketkini.com

 

AMPANG: Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 21, Supiramany Sinnapayal, 63, semalam membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, di sini, setelah menemui sebutir peluru yang dimasukkan dalam sampul surat berwarna putih di pejabatnya di Kampung Cheras Baru.

Beliau berkata, kejadian itu disedari sebaik seorang kerani di pejabatnya menemui sampul surat itu ketika membuka pintu pejabat untuk memulakan tugas kira-kira jam 9.30 pagi.

“Sampul surat mengandungi sebutir peluru itu dipercayai dimasukkan melalui bawah pintu pejabat saya,” katanya pada satu sidang media, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Bukit Permai berkata, kemungkinan besar perbuatan itu bermotifkan ugutan.

Bagaimanapun, dalam laporan polis yang dibuat kira-kira jam 3.00 petang semalam itu beliau tidak menamakan suspek yang disyaki terbabit melakukan perbuatan itu.

“Saya tidak bermusuh dengan sesiapa dan juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, jadi saya tidak pasti sama ada perkara ini bermotifkan politik atau apa.

“Kalau buat begini, lagi saya tidak takut. Kalau sesiapa pun ada masalah dengan saya, datanglah berjumpa saya,” katanya.

Supiramany yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kawasannya menganggap kejadian itu adalah insiden pertama yang berlaku dan menimpa ke atas dirinya.

Peguam yang mewakili beliau, Lim Lip Eng pula menggesa agar pihak polis menyiasat segera kejadian itu dan boleh merujuk kepada CCTV yang dipasang di Jalan Loke Yew dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) untuk membantu polis mengesan sesuatu,” ujar beliau.

Ditanya mengenai motif ugutan itu, Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut tidak menolak kemungkinan ia membabitkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak kerana anak guamnya banyak membangkitkan isu dan masalah penduduk setempat.

“Mengikut Akta Senjata Api 1971 jika sesiapa didapati bersalah menggunakan senjata tiruan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan tiga kali sebatan. Jika peluru itu betul, bermakna hukumannya sudah pasti lebih serius,” jelasnya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: