Oleh: Norutul Ilham
KUALA LUMPUR : Angkatan Muda KEADILAN (AMK) membuat laporan polis terhadap perdana menteri berhubung arahan agar akuan bersumpah (SD) kedua disediakan bagi pihak penyiasat persendirian, P Balasubramaniam.
Ia ekoran pendedahan dibuat peguam Americk Singh Sidhu ketika mesyuarat tahunan (AGM) Majlis Peguam, baru-baru ini mengatakan SD berkenaan disediakan peguam, Cecil Abraham.
Laporan polis dibuat Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin, di Balai Polis Dang Wangi petang tadi dengan ditemani beberapa pimpinan AMK.
Shamsul yang ditemui selepas itu mendesak polis menyiasat pembabitan Datuk Seri Najib Razak dalam kes tersebut.
“Americk menyatakan bahawa Cecil memaklumkan bahawa beliau diarahkan oleh Najib supaya
menyediakan SD kedua untuk diikrarkan oleh Bala bagi menafikan kandungan SD pertama,” kata Shamsul.
Pada Julai 2008, Bala mendedahkan akuan bersumpah mengaitkan Najib dengan pembunuhan kejam wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu yang dibunuh pada Oktober 2006. Ia termasuk dakwaan mengatakan Najib pernah mengadakan hubungan seks dengan wanita berkenaan.
Bagaimanapun, keesokan harinya, Bala menarik semula dakwaan terkandung dalam SD pertamanya dengan menggantikan dengan SD kedua, sebelum menghilangkan diri.
Setelah lima tahun bersembunyi di Chennai, India, Bala kemudian mengejutkan negara apabila pulang ke tanah air, 24 Februari lalu dan tampil mendedahkan skandal berkenaan pada program Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun, negara dikejutkan pula dengan berita kematiannya 15 Mac lalu akibat serangan jantung.
Kata Shamsul, beliau percaya arahan Najib agar Bala membuat SD kedua berniat jahat dan cuba menafikan fakta yang dibuat Bala dalam SD pertamanya.
“Melalui keterangan Americk, berdasarkan pengakuan cecil terhadapnya jelas Najib cuba membohongi rakyat mengenai keterlibatan beliau dalam pembunuhan Altantuya.
“Saya percaya Najib mahu menyembunyikan fakta melibatkan kematian warga Monggolia itu,” ujarnya yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka. – RM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan