Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa, sepanjang PR menerajui Selangor, penggunaan masjid di negeri itu kerap kali diimarahkan dengan pelbagai program keagamaan.
“Dr Mahathir akan terperanjat kalau beliau diberitahu qiamullail dihadiri beribu orang dalam satu masjid.
“Ini tak berlaku langsung dalam zaman (pemerintahan) Dr Mahathir. Penggunaan rumah ibadat Islam (masjid dan surau) sangat diterima rakyat (ketika PR memerintah),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Eksekutif Halal dan Dialog Industri, di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Teresa Kok dan Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin.
Kelmarin, Dr Mahathir dilaporkan berkata, kelemahan dua parti yang dipimpin orang Melayu dalam PR dengan mudah mengikut kata rakan parti menyebabkan orang lain tidak lagi menghormati hak Melayu dan Islam.
Dalam pada itu, Abdul Khalid turut mempersoalkan keupayaan Dr Mahathir meningkatkan ekonomi orang Melayu ketika melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana ia dilihat tidak mencapai matlamat.
“Masa dulu beliau buat pun tidak berjaya juga. Ketika beliau melaksanakan DEB, tetapi yang dapat (manfaatnya) bukan orang Melayu.
“Kalau kita tengok penswastaan yang dibuat, berapa peratus yang akhirnya sampai ke tangan (golongan) Bumiputera?,” katanya.
Beliau berharap supaya Dr Mahathir berhenti daripada membuat kenyataan seperti itu.
Dalam satu majlis lain, Abdul Khalid berkata, pembubaran Dun Selangor bakal dilaksanakan dalam bulan Mac ini bagaimanapun, tarikh belum diumumkan.
Menurut beliau, pembubaran Dun akan dilakukan pada bulan ini setelah semua keputusan telah dicapai namun tarikh belum diumumkan.
“Kerajaan negeri telah buat keputusan bubar Dun dalam bulan ini, insya-Allah kalau tidak apa-apa halangan ia akan diadakan dalam masa terdekat ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan