SHAH ALAM : Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM2 juta sejak tahun 2011 bagi melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf serta menyelenggara jalan raya dan longkang di kawasan Klang.
Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, kerja-kerja penyelenggaran itu menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri (Marris) dan peruntukan Adun sepenuhnya.
Tambahnya, sebahagian besar jalan raya di Pandamaran juga sudah diturap, malah segala aduan yang diterima daripada penduduk setempat juga di atasi secara berperingkat.
“Kita tidak hanya menyelenggara jalan raya, malah longkang juga diselenggara dengan baik oleh Pihak Berkuasa Tempatab (PBT). Kerajaan Negeri sudah peruntukkan banyak dana untuk kerja-kerja pembaikan ini.
“Malah, untuk tahun ini sahaja RM1 juta diperuntukkan, dan ia tidak termasuk peruntukan daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK). Kita ada rekod tender, sebut harga dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.
Dalam pada itu, Ronnie turut menyifatkan dakwaan bahawa PBT Selangor gagal menunaikan janji untuk menyelanggara jalan raya disifatkan sebagai satu sandiwara politik yang sengaja dimainkan Umno-BN lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin hampir.
Tegasnya, ia adalah taktik biasa Umno-BN yang sengaja menimbulkan pelbagai spekulasi untuk memburuk-burukkan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor.
Menyentuh mengenai dakwaan jalan raya tidak diturap di Taman Tengku Bendahara Azman di Pandamaran, Ronnie menegaskan ia masih dalam perancangan dan akan dibaiki dalam tempoh terdekat.
“Itu adalah taktik biasa Umno-BN, sedangkan mereka tidak pernah buat sebarang tindakan di kawasan itu. malah mereka juga tidak akan mengaku sekiranya Kerajaan PR Selangor membuat sebarang penambah baikan tidak kira di Klang mahupun di tempat lain.
“Hakikatnya jalan raya di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) yang masih belum diselenggara. Berapa kali kita buat aduan pun mereka tidak ambil sebarang tindakan, tetapi mereka mengemukakan alasan kononnya JKR tidak mempunyai dana,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan