Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata ia bagi memudahkan penduduk kampung menerima rawatan hospital memandangkan Hospital Lahad Datu terletak dalam lingkungan 130km dari lokasi tersebut.
“Kita akan tempatkan hospital bergerak itu berhampiran Klinik Kesihatan Felda Sahabat,” katanya (gambar) kepada pemberita selepas Program Lawatan Kerja dan Majlis Perasmian Kompleks Pakar dan Rawatan Harian (SCACC) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Hospital Kuala Lumpur di sini.
“Hospital terdekat pun ambil masa sejam setengah, jadi susulan lawatan saya semalam, saya telah laporkan kepada perdana menteri untuk dapatkan persetujuan menempatkan hospital tersebut,” katanya.
Liow berkata kementeriannya telah menyediakan perkhidmatan klinik bergerak di lokasi tersebut, namun ia hanya mampu menampung sehingga 12 katil.
“Hospital bergerak ini turut menempatkan wad untuk pesakit dan mereka boleh dapatkan rawatan hospital, berbanding klinik yang hanya untuk rawatan pencegahan,” katanya.
Beliau turut menggesa kakitangan kementeriannya yang ditugaskan ke lokasi konflik tersebut supaya memastikan kawasan persekitaran bebas daripada penyakit berjangkit dan wabak.
“Ada kanak-kanak, bayi, mereka semua mudah terdedah kepada jangkitan seperti Dengi dan keracunan makanan, jadi saya mengarahkan mereka supaya memastikan sanitasi pembersihan sentiasa baik dan tiada wabak penyakit di kawasan berkenaan.
“Kita juga ada memberikan vaksin untuk penduduk yang mendapatkan perlindungan,” katanya lagi.
Mengulas keadaan perajurit negara yang menerima rawatan ekoran kecederaan dalam Op Daulat, Liow menjelaskan hampir 90 peratus perajurit yang tercedera di Hospital Lahad Datu telah dibenarkan keluar, manakala bagi yang memerlukan rawatan pakar, mereka akan dihantar ke hospital termasuk ke Semenanjung.
“Ada lebih kurang 20 perajurit dan semua telah sembuh, ada yang kita hantar ke Selayang, Tawau dan hospital pakar tertentu untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” kata Liow.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan