Penganalisis Harakahdaily, |
Walaupun polis sudah berkata, pencerobohan itu sudah selesai dengan serangan besar-besaran termasuk menggunakan jet pejuang, berdasarkan laporan dari media Filipina, nampaknya ia belum selesai.
Ini kerana, berpuluh-puluh tentera kesultanan Sulu dan juga mereka yang simpati dengan mereka sedang menyusup masuk ke negara ini.
Ia menambahkan lagi ribuan rakyat mereka yang sememangnya sudah didaftarkan menjadi rakyat negara ini melalui skandal kad pengenalan untuk undi sebelum ini.
Moro National Liberation Front (MNLF) sudah mengisytiharkan akan membela saudara mereka yang terkorban selepas memberi amaran sebelum ini agar ia diselesaikan menggunakan 'kepala dingin' bukannya perang.
"Saya berharap mereka tidak dicederakan. Mereka (penyokong Kesultanan Sulu) adalah saudara kita. Jika setitik darah mereka gugur, kita mungkin terpaksa membela mereka," Nur Misuari, pengerusi pengasas MNLF memberi amaran pada 21 Februari lalu.
Manila Buletin melaporkan, pasukan keselamatan Malaysia akan berdepan dengan pasukan yang mereka latih sendiri sebelum ini iaitu dari MNLF, yang mengetahui Sabah umpama dalam telapak tangan mereka.
Di samping mereka, beribu -ribu lagi rakyat Filipina kini sudah berada di Sabah dan memiliki kad pengenalan biru Malaysia tanda kerakyatan mereka.
Hadji Acmad Bayam, ketua propaganda MNLF memberitahu Manila Bulletin, mereka memiliki peralatan yang cukup untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, menjawab perkara ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan tentera Malaysia pernah melatih mereka.
Namun sebelum ini, beliau mengaku ribuan penduduk Filipina diberikan kad pengenalan dalam skandal IC yang didedahkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang kini masih berjalan.
Bagi bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Tamrin Ghafar, inilah bayaran yang terpaksa dibayar oleh negara apabila Tun Dr Mahathir memberikan kerakyatan untuk kepentingan politik sebelum ini.
Beliau tidak nampak krisis ini akan selesai dengan cepat kerana beribu-ribu lagi orang Sulu ini berada di Sabah.
Mereka pula sudah dianggap rakyat negara ini kerana sudah mempunyai kad pengenalan biru.
Manila Buletin juga melaporkan, penduduk Filipina di Sabah telah mengamuk di Semporna ekoran berita yang tersebar terbunuhnya seorang imam, Imam Maas dan empat anaknya dan dikatakan dibunuh oleh pasukan keselamatan Malaysia.
Petang Sabtu lepas, SMS tersebar di kalangan mereka yang dikatakan berasal dari Semporna memaklumkan dakwaan pembunuhan itu oleh Pasukan Gerak Am polis itu.
Abraham J. Idjirani, jurucakap Kesultanan Sulu, secara rasmi memaklumkan perkara itu dalam sidang medianya 3 Mac lalu.
Dengan tarikh akhir Parlimen yang adalah 24 April 2013, tidak nampak isu ini akan selesai dengan segera untuk membolehkan parlimen dibubarkan sebelum tarikh itu.
Ia pula berlaku ketika laporan demi laporan sampai bahawa BN tidak akan berjaya mempertahankan kerajaan yang ada sekarang dalam pilihan raya umum ke 13 ini.
Apakah ini satu taktik dan strategi untuk kepentingan pilihan raya? Ia sukar untuk ditentukan kerana ramai tidak yakin Najib sanggup untuk memperjudikan nasib rakyatnya sendiri demi kepentingan politik.
Ini kerana, dengan lapan sudah terkorban, ia bermakna harga yang terlalu mahal dibayar untuknya.
Atau, ia sememangnya perancangan tetapi apa yang berlaku diluar jangkaan.
Ini juga boleh jadi tetapi susah untuk disahkan. Ini kerana ramai sedia maklum, mereka yang terlibat dalam gerakan tuntutan kesulatan Sulu ini adalah ahli Umno.
Isu Lahad Datu boleh menjadi senjata makan tuan untuk BN berikutan pendedahan hubungan pemimpin Umno dengan gerakan Sulu ini.
Pendek kata semua option terbuka kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan