Jumlah kerusi yang dinyatakan itu juga menunjukkan pertambahan sebanyak 10 kerusi kepada Pas berbanding pilihan raya umum sebelumnya yang menyaksikan parti itu bertanding di 66 kerusi parlimen sahaja di seluruh negara.
Perkara itu disahkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan merujuk bahawa pihaknya akan bertanding lebih satu pertiga daripada jumlah kerusi Parlimen bagi memastikan Pas menjadi teras politik negara untuk menggantikan Umno.
Berdasarkan pertambahan kerusi yang disebutkan itu juga, Abdul Hadi tidak menolak kemungkinan berlaku pertambahan kerusi lain melebihi 76 buah sekiranya terdapat perubahan yang menyebelahi parti itu pada saat-saat akhir.
“Kita kena ingat kerusi parlimen seluruh Malaysia ada 222. Daripada jumlah itu, saya hendak beritahu, insya-ALLAH Pas akan bertanding sekurang-kurangnya 76 kerusi.
“Kita bertanding lebih satu pertiga daripada jumlah kerusi parlimen yang dipertandingkan seluruh negara. Insya-ALLAH mungkin akan ada lagi (pertambahan kerusi) jika rakan-rakan kita dalam PR memberi lagi kerusi kepada kita untuk bertanding,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Chabang Tiga, di sini.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Marang itu mengulangi kenyataannya supaya mana-mana pihak tidak terpengaruh dengan dakwaan bahawa DAP bakal menerajui negara sekiranya PR menang pada PRU13.
Abdul Hadi berkata, dengan jumlah kerusi yang dipertandingkan parti itu, DAP masih belum layak untuk menerajui pentadbiran kerajaan.
“DAP bertanding dalam 50 hingga 60 kerusi dan jika dia boleh menang 50 kerusi pun, masih tidak boleh hendak memerintah Malaysia ini.
“Oleh itu, usahlah terpengaruh dengan dakyah Umno-Barisan Nasional (BN). Mereka letak calon bukan Melayu di 21 kerusi majoriti orang Melayu. Umno telah beri kerusi kepada MCA, MIC dan Gerakan,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan