Oleh Mazir Ibrahim
SECARA ringkasnya, era 80an merupakan era di mana Muzik Rock Malaysia berkembang menjadi fenomena gaya hidup orang muda ketika itu. Pengaruhnya bukan sahaja dalam soal cara berpakaian malah ucapan dan gaya bahasa juga berkembang dan mencair dalam budaya baru masyarakat kita.
Ayat-ayat “ Gua.. Lu.. Brader..” menjadikan pengamal bahasa ‘sopan santun’ pening kepala. Tetapi inilah hakikatnya, budaya berkembang bukan menurut kehendak penguasa atau institusi sebaliknya ia berkembang sesuai dengan citarasa yang pelbagai di samping faktor ekonomi di sebaliknya.
Ketika itu beratus nama band anak muda ditubuhkan, di sana-sini anak muda sibuk dengan ‘battle of the band’, ada fun fair di kampung dan pekan, studio jamming juga tumbuh sebagaimana muzik dangdut telah membantu pengusaha kelab dangdut dan karaoke menjadi kaya-raya.
Ketika itu hard rock pun tak mampu menandingi keuntungan kelab dangdut (jenama tempatan). Bukan tu saja, syarikat rakaman juga tumbuh termasuk syarikat rakaman milik ‘Bumiputera’.
Pendek kata, zaman itu benar-benar hidup dengan suasana budaya yang serba mewah dan meriah. Namun, apabila kemeriahan ini mencapai kemuncaknya, orang politik melihat ini sebagai ‘gangguan’ ke atas hagemoni kuasa politiknya.
Maka diciptalah pelbagai persepsi buruk yang melingkari dunia ‘glam’ seniman rock. Tanda nama seperti ‘budaya kuning – mabok – dadah – rambut panjang – selekeh dan keruntuhan moral’ telah ditempekkan ke atas anak muda penggiat dan peminat budaya rock n roll ini.
Malang, sedikit demi sedikit kemeriahan budaya ini bertukar menjadi mimpi ngeri kepada industri muzik tanah air sendiri. Sejak itu, mutu dan jumlah produk muzik semakin menurun baik pengeluarannya mahupun keuntungannya. Sejak itu, budaya muzik moden (rock) dilihat sebagai musuh masyarakat (public enemy) di Malaysia.
Tetapi baru-baru ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang pernah menyekat kumpulan muzik rock pada era terbabit kini kembali memberi ruang kepada mereka untuk beraksi semula menerusi program Rockers Apa Khabar.
Menurut Penerbit Bersekutunya, Megat Syafnir Farree, “Usaha mengembalikan kegemilangan zaman rock kapak atas kerjasama RTM adalah satu penghargaan yang sangat besar setelah muzik ini pernah disekat satu ketika dahulu.
Menurut laporan dari mstar lagi, sebanyak 13 kumpulan rock termasuk kumpulan Utopia, Meditasi, Samudera, CRK, Putra, Satira, Burnmark, EYE, Lela, Graviti, Junction, Handy Black dan Bloodsheed berkumpul bagi menjayakan program Rockers Apa Khabar yang bakal ditayangkan di TV2 pada Jun depan.
Setiap kumpulan akan menyampaikan enam lagu popular masing-masing seperti Sinambungan Cinta oleh Graviti, Maya Percintaan (Utopia), Surat Dari Hiroshima (Satira), Bidadari (Lela), Srikandi Cintaku (Bloodshed), Izinkan Selamanya Nama Di Hati (EYE) dan Kain Cinta Putih (Putra).
Menurut pengarah kreatifnya, Bakaruddin Daud yang juga ahli kumpulan Meditasi, program selama sejam itu bukan sahaja menampilkan persembahan nyanyian, bahkan kehidupan kumpulan terbabit.
“Dalam program ini, ia turut memaparkan kehidupan sebenar artis rock ini di mana tidak semuanya hidup senang. Demikian menurut laporan berita itu.
Inilah namanya ‘politik’.
Ketika penguasa kuat – artis menjadi kambing hitam, artis penyebab berlakunya masalah sosial, artis yang merosakkan budaya bangsa dan sebagainya.
Tetapi ketika sang penguasa lemah, maka ini dijadikan ‘gula-gula’ pengubat rindu buat seniman rock kita. Ini pastinya bertujuan untuk meraih kembali sokongan golongan rock yang suatu ketika dulunya muda – kini sudah vateran yang pastinya sudah mendaftar sebagai pengundi.
Strategi ini tidak menjadi kesalahan, tetapi ini menjadi indikasi bagaimana penguasa melayan seniman dan orang budaya. Artis dilayan sebegitu murah, harga diri seorang artis di Malaysia entah di mana letaknya. Tapi apakan daya, artis sendiri mahu mereka dilayan sebegitu, katanya…“ Apa nak buat bro..cari makan.”- Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan