Sabtu, 9 Mac 2013

Dua anggota polis cedera terkena balingan batu pada ceramah politik

THE MALAYSIAN INSIDER
 
MELAKA — Dua anggota polis adalah antara tiga yang cedera terkena balingan batu ketika kekecohan membabitkan penyokong yang hadir pada dua ceramah politik di Jalan Tun Kudu, Bukit Katil, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11 malam itu, dua koperal polis berkenaan sedang berkawal di kawasan ceramah yang diadakan secara bertentangan, masing-masing membabitkan kehadiran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ummi Hafilda Mohd Ali.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata provokasi tercetus di antara penyokong kedua-dua ceramah disusuli balingan batu oleh individu yang mengenai dua anggota polis terbabit serta seorang awam.

Dua anggota polis yang masing-masing berusia 30an mengalami cedera pada badan dan dahi menerima rawatan pesakit luar di Hospital Melaka, manakala lelaki berusia 30an itu pula cedera di kepala, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

“Polis telah berjaya menahan seorang lelaki berusia 24 tahun yang merupakan peserta perhimpunan dipercayai terlibat dalam insiden tersebut malam tadi,” katanya.

Sebanyak 70 anggota polis termasuk Pasukan Penggempur Ringan diarah memantau dan mengawal suasana pada dua ceramah berkenaan, katanya

Pada masa yang sama, Salehhuddin berkata polis mendapati penganjur kedua-dua ceramah gagal memaklumkan penganjuran perhimpunan kepada ketua polis daerah mengikut tempoh yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Awam 2012 iaitu sekurang-kurangnya 10 hari sebelum diadakan.

Polis akan mengambil tindakan lanjut terhadap penganjur kedua-dua ceramah terbabit mengikut akta berkenaan, katanya. — Bernama

Tiada ulasan: