Khamis, 21 Mac 2013

Bukti ketua penceroboh di Lahad Datu rakyat Malaysia, bekas penjawat awam




Oleh RAFIZI RAMLI

Sejak pencerobohan di Lahad Datu berlaku, pelbagai spekulasi timbul akibat maklumat yang samar-samar yang diberikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak, sebagai penjawat awam tertinggi yang bertanggungjawab kepada rakyat.

Salah satu persoalan yang paling besar ialah latar belakang kumpulan bersenjata ini.

Walaupun secara rasminya mereka diisytiharkan sebagai orang asing dari satu kumpulan yang mewakili Kesultanan Sulu, banyak spekulasi timbul apabila ada tokoh-tokoh pimpinan tertentu dari kumpulan itu yang dikatakan rakyat Malaysia.

 Perkara ini penting kerana ia membayangkan kesan sampingan Projek IC yang dikaitkan dengan Tun Mahathir Mohamad dan setakat ini disahkan oleh keterangan-keterangan kepada Suruhanjaya diRaja Mengenai Kerakyatan di Sabah.

Wujudnya tokoh-tokoh dari kumpulan bersenjata Sulu ini dari kalangan rakyat Malaysia mengesahkan keresahan rakyat bahawa pemberian kerakyatan bagi tujuan politik tanpa melalui proses yang sah mengundang ancaman keselamatan.

Sejak tercetusnya pencerobohan di Lahad Datu, KEADILAN telah mengadakan pertemuan dengan penduduk tempatan untuk cuba mendapat maklumat lanjut mengenai latar belakang tokoh-tokoh ini.

Salah seorang yang sering disebut ialah ketua kumpulan itu sendiri yang menggelarkan dirinya Raja Muda Sulu, bernama Agbimudin @ Azzimuddie Kiram.

Maklumat awal penduduk tempatan menyatakan bahawa dia pernah bertugas sebagai pegawai kerajaan di Pejabat Daerah Kudat dan mengesahkan bahawa dia adalah rakyat Malaysia setelah diberikan kad pengenalan.

Dari maklumat tersebut, Timbalan Setiausaha Agong KEADILAN, Sdr Darell Leiking telah menjejaki maklumat kakitangan Kerajaan Negeri Sabah di beberapa tempat termasuklah di Jabatan Arkib Negara Sabah.

Dari maklumat Senarai Kakitangan 1975, Perkhidmatan Awam Sabah seperti yang disimpan di Jabatan Arkib Negara Sabah, disahkan bahawa Datu Agbimudin Kiram tersenarai sebagai Pegawai Pentadbir Muda di Pejabat Daerah Kudat dengan lantikan bermula 1 Mac 1974 bergaji RM610 sebulan.

(Sila rujuk dokumen Senarai Kakitangan 1975 yang disertakan bersama)

Dengan maklumat ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak lagi boleh bersembunyi disebalik alasan keselamatan nasional untuk mengelak dari menjawab soalan-soalan yang berlegar di pemikiran rakyat:

1.      Berapa orang setakat ini dari kalangan penceroboh bersenjata merupakan rakyat Malaysia yang berasal dari Filipina yang diberikan kad pengenalan biru seperti Agbimudin Kiram?

2.      Berapa orang setakat ini dari kalangan penceroboh bersenjata rakyat Malaysia itu adalah ahli Umno?

3.      Kenapa Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak berterus terang dengan rakyat bahawa ketua kumpulan bersenjata ini adalah rakyat Malaysia berasal dari Filipina yang diberikan kad pengenalan biru?

Penemuan ini membuka dimensi baru mengenai pencerobohan ini yang jelasnya mengesahkan hubung kait di antara pencerobohan bersenjata dengan Projek IC yang dikaitkan dengan Tun Mahathir Mohamad dan Umno.

Untuk mengupas perkara ini dengan lebih lanjut, KEADILAN akan meganjurkan Bicara Kedaulatan dan Keselamatan Negara (BKKN) dalam bentuk forum yang disertai oleh Leftenan Jeneral (B) Dato’ Abdul Ghafir Abdul Hamid (mantan Timbalan Panglima Tentera Darat) dan Tuan Yusuf Barji (mantan Penolong Pesuruhjaya Polis/ACP dan Pengarah Cawangan Khas PDRM Sabah) di Kuala Lumpur, Sungai Petani dan Johor Bahru.

BKKN yang pertama akan berlangsung di Dewan Dato’ Ahmad Razali Ampang pada hari Khamis, 21 Mac 2013 jam 9 malam dan akan dipengerusikan oleh saya sendiri.

Melaui BKKN, persoalan hubungkait Projek IC dan ancaman keselamatan akibat dari semborono Umno itu akan dikupas dengan sejelasnya, selain dari isu-isu kedaulatan dan keselamatan negara yang lain.

KEADILAN menunggu jawapan dari Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tun Mahathir Mohamad agar perkara sebenarnya dapat dijelaskan kepada rakyat.

Tiada ulasan: