Ahad, 25 November 2012

Rais harap perwakilan perhimpunan Umno lebih serius, kurangkan jenaka

SINAR HARIAN

Perhimpunan Agung Umno 2012
Perhimpunan Agung Umno 2012
 
KUALA LUMPUR - Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Seri Dr Rais Yatim berharap Perhimpunan Agung Umno 2012 yang bermula Selasa ini akan menumpukan kepada perkara-perkara lebih faktual dan mengurangkan jenaka serta gelak ketawa.
  
Beliau berkata perwakilan tidak harus menyamakan perhimpunan kali ini dengan perhimpunan yang lalu sebaliknya ia harus menjadi perhimpunan yang paling lengkap untuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
  
"Tahun lalu berlaku banyak berjenaka, ketawa...sehingga 'kerja rumah' yang paling penting kadangkala dilupai.
  
"Diharapkan kali ini tumpukan betul-betul kepada pergolakan, bagaimana mengatasi perpecahan dalam masyarakat Melayu misalnya," katanya.
  
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selepas menyertai acara Sepetang YB Menteri KPKK Bersama Mahasiswa Mahasiswi Universiti Malaya (UM) sempena Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) di UM, di sini hari ini.
  
Rais juga berharap agar perwakilan juga tidak mengemukakan pandangan-pandangan yang membawa kepada isu perkauman sehingga memecahkan konsep ummah sebaliknya fokus pada cara bagaimana menegakkan perjuangan perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.

Sementara itu menyentuh mengenai PMS, Rais berkata kementeriannya akan membiayai satu segmen industri kreatif di UM bagi menjayakan pelan dasar industri kreatif negara.
  
"Melalui program hari ini KPKK akan mengumpulkan data untuk menentukan kecenderungan aspek seni budaya mahasiswa UM yang memerlukan bantuan dan bimbingan KPKK.
  
"Kita (KPKK) boleh bantu dari segi latihan dan kepakaran dalam beberapa aspek atau mereka boleh sertai bengkel di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara)," katanya.
  
Beliau berkata program yang juga telah dilakukan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini bertujuan mencungkil potensi mahasiswa yang berminat dalam industri kreatif ke arah produktiviti tinggi dalam bidang tersebut. - Bernama

Tiada ulasan: