Sabtu, 24 November 2012

P'raya umum fokus utama perhimpunan agung Umno



 
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Umno sudah bersedia menerima kehadiran 5,447 anggota perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno 2012 yang akan bermula minggu depan.

Katanya segala persiapan kini sudah di peringkat akhir dan mengikut jadual yang ditetapkan.
  
"Kami di ibu pejabat Umno yakin perhimpunan agung akan berjalan dengan lancar," katanya pada sidang media khas mengenai perhimpunan agung itu di Ibupejabat Umno semalam.
  
Menurut Tengku Adnan Perhimpunan Agung Umno 2012 yang bakal bermula Selasa ini dengan Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri akan didominasi oleh mood pilihan raya yang juga merupakan fokus utama Perdana Menteri dan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
Seramai 991 anggota perwakilan bagi setiap sayap parti itu akan bersidang dan mengemukakan agenda masing-masing sebelum perasmian Perhimpunan Agung Umno 2012 pada Khamis.

Tengku Adnan berkata seramai 52 delegasi mewakili 20 parti dari 18 buah negara di peringkat antarabangsa juga telah mengesahkan kehadiran ke perhimpunan kali ini sebagai pemerhati dan menyertai Forum Antarabangsa 2012.
  
Forum bertajuk 'Konflik dan Perdamaian dalam Politik Rakyat-Menoleh ke Belakang atau Memandang ke Hadapan' itu akan berlangsung selama dua hari bermula Isnin (26 Nov).
  
Dalam pada itu Tengku Adnan sekali lagi mengingatkan perwakilan Umno yang akan berbahas pada Perhimpunan Agung Umno 2012 supaya berhujah secara bijak dan tidak menyentuh isu sensitif yang boleh menyakitkan hati pihak lain.
  
Katanya walaupun mungkin teruja berucap terutamanya memandangkan perhimpunan kali ini diselubungi mood pilihan raya, mereka perlu mengelak daripada menimbulkan isu yang boleh menyinggung perasaan orang lain.
  
"Kita minta mereka 'bertomakninah' sedikit. Memang ada kebebasan untuk berbahas dan kita terima semua usul yang diberikan. Tapi sebagai parti berasaskan kaum, kita juga bimbang dan meminta bahawa mereka jangan menyakitkan hati orang lain," katanya.
  
Persidangan Agung Umno kali ini juga akan menyaksikan seramai 1,782 wartawan dari 102 buah agensi media melibatkan media cetak dan elektronik selain media baharu termasuk blogger dan portal berita online akan bertugas sepanjang persidangan berlangsung. Bernama

Tiada ulasan: