SINAR HARIAN
GEORGETOWN - Seorang anggota polis trafik parah akibat dirempuh sebuah
motosikal di Kilometer 127.6 menghala arah utara Sungai Dua,
Butterworth, dekat sini Isnin lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pada kejadian
2.50 petang itu anggota berkenaan, Lans Koperal Abu Talib Shariff, 23,
sedang mengeluarkan surat saman kepada seorang pemandu kereta yang
didapati tidak memakai tali pinggang keledar dan memandu melebihi had
laju.
"Motosikal yang dipandu laju seorang lelaki secara tiba-tiba merempuh
Abu Talib dan mengheretnya sejauh 30 meter sebelum beliau tercampak ke
lorong kecemasan," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota
berkenaan di Penang Adventist Hospital, di sini hari ini.
Beliau berkata susulan insiden itu keseluruhan struktur tulang muka dan
bahu kiri anggota berkenaan patah selain tulang rusuk di bahagian
belakangnya retak.
Difahamkan anggota berkenaan berada dalam keadaan stabil dan ditahan di
hospital itu untuk jangka masa yang lama berikutan kecederaan yang
dialaminya.
Abdul Rahim menggesa semua pengguna jalan raya agar peka dengan keadaan
persekitaran sewaktu memandu terutamanya ketika terdapat sekatan jalan
atau seumpamanya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Katanya lelaki yang melanggar Abu Talib yang turut patah bahu kanannya
kini berada di Hospital Kepala Batas dan dia akan ditahan sebaik sehaja
selesai menjalani rawatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang
membawa hukuman denda minimum RM4,000 dan maksimum RM10,000 atau penjara
sehingga 12 bulan, jika sabit kesalahan," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan