Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat terhegeh-hegeh membangkitkan isu kondominium Batu Caves menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) bertujuan untuk merampas Selangor dari Pakatan Rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves, Amirudin Shari berkata, Najib amat terdesak untuk meraih kembali sokongan masyarakat India terhadap BN yang mula merosot.
“Kononnya mahu membatalkan projek itu semula, sedangkan ia diluluskan oleh BN. Nampak sangat itu permainan Umno BN, sengaja cipta isu konon untuk menunjukkan mereka prihatin dan mampu selesaikan.
“Kenapa tidak dari dulu saja selesaikan, malah luluskan pula? Itu pentadbiran caca marba namanya,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Najib yang juga Pengerusi BN Selangor ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di pekarangan kompleks Batu Caves, berjanji akan membatalkan projek kondominium 29 tingkat di situ jika BN berjaya menawan Selangor.
Sebelum ini, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu yang bertanggungjawab meluluskan projek tersebut.
8 November lalu terbongkar minit mesyuarat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 29 November 2007 mengesahkan, projek kondominium Park Avenue itu turut disokong oleh ahli majlis dari MIC.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan akan menubuhkan pasukan petugas bebas untuk menyiasat isu kondominium yang berdekatan kuil Subramaniar itu.
Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu pula berkata, Kerajaan Selangor mungkin membatalkan projek yang diluluskan BN itu kerana terletak di kawasan sempit dan berdekatan Gua Batu Caves dan berisiko menyebabkan tanah runtuh.
Amirudin berkata, isu tersebut tidak akan menjejaskan kredibiliti pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor kerana telah ditangani dengan baik.
“Pimpinan Pakatan di Selangor sudah tangani isu ini sebaiknya. Kita semak fakta siapa yang luluskan, tubuh pasukan menyiasat dan tangguh projek tersebut, jadi tiada isu yang patut timbul,” jelasnya.
“Malah, sejak Pakatan ambil alih, tiada sebarang projek pun dibangunkan di kawasan itu, tapak masih kosong, jadi tiada apa yang perlu Najib bangkitkan,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan