Khamis, 15 November 2012

Muktamar Pas: Tiada sekatan bahas isu Izzah

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

logo muktamar
.
PENGKALAN CHEPA - Isu menyelubungi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tidak akan mengundang kontroversi dalam Muktamar Pas ke-58, yang akan bermula di sini dengan majlis perasmian persidangan sayap-sayap malam ini.

Menurut Timbalan Pengarah Muktamar Ke-58, Datuk Takiyuddin Hassan, para perwakilan tidak akan disekat daripada membahaskan topik-topik tertentu termasuk isu Nurul Izzah.

"Kita tidak akan sekat tapi dalam kawalan pengerusi. Kita percaya ia tak akan jadi isu kontroversi," katanya pada sidang media di Dewan Tarbiyah Islamiah Kelantan.

Malah ujarnya, Pas tidak pernah mengehadkan perwakilannya daripada membahaskan apa juga topik.

"Kita tidak pernah hadkan perbahasan. Perbahasan ini bergantung kepada ucapan dasar presiden. Garis kasar kita beri kepada perwakilan,"ujarnya.

Sementara itu, menurut Pengarah Muktamar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, setakat ini 95 peratus persiapan menjelang muktamar yang akan berlangsung pada Jumaat ini sudah selesai.

Beliau yang ditemui pada sidang media terakhir jawatankuasa pelaksana muktamar memberitahu, perasmian Dewan Muslimat akan dirasmikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam ini.

Di tempat berasingan malam ini, Muktamar Dewan Pemuda pula akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Perwakilan dari 186 kawasan Pas, dari seluruh Malaysia termasuk 15 kawasan baru dari Sabah dan Sarawak akan hadir.

"Dijangka 1,100 perwakilan akan hadir," katanya lagi.

Menjawab sama ada Nurul Izzah akan hadir, Takiyuddin berkata setakat ini hanya Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution mengesahkan kehadiran mereka.

"Izzah setakat ini tidak ada kepastian lagi, kita tak tahu dia datang. Kita jemput parti dan individu-individu," katanya.

Sementara itu, DAP mengesahkan kehadiran pemimpin veteran, Lim Kit Siang: Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony dan Ahli Parlimen DAP dari Bukit Bendera, Liew Chin Thong.

Tiada ulasan: