Jumaat, 9 November 2012

Dasar 'cincai' Kerajaan BN seksa pemilik kenderaan

Oleh SAFAR JUMAAT
 
APA pentingnya Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang kini diperkenalkan Kementerian Pengangkutan? Kementerian ini sudah terpalit dengan pelbagai isu sebelum ini, termasuk PKFZ yang menyeret bekas menterinya ke mahkamah.

Kini, AES yang sudah mengeluarkan belanja yang cukup besar, ditentang rakyat terbanyak dengan menyifatkan syarikat yang diberikan projek ini, bakal mengaut keuntungan besar hasil saman.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih mengadakan sekatan jalan raya, masih membuat pemantauan dan menahan kenderaan yang dilihat melakukan kesalahan.

Dalam masa yang sama, AES terus dipasang dan merakamkan pelbagai kesalahan yang dilakukan pemadu – selepas setiap pemandu yang membeli kenderaan terpaksa membayar faedah bank, insuran kenderan dan insuran nyawa, cukai jalan, parkir dan kerosakan.

Setiap kenderaan yang berada di atas jalan raya tertakluk kepada saman polis dan JPJ. Mungkin juga dengan PBT sekali. Kenapa begitu seksa untuk berkenderaan di Malaysia? Apa yang menjadikan Malaysia begitu "keras" menjalankan penguatkuasaan?

Apa yang boleh diperkatakan dalam isu ini, kementerian-kementerian di Malaysia banyak kali melakukan sesuatu perubahan atau pembaharuan, secara ad-hoc dan tidak dikaji secara mendalam, walaupun AES dikatakan sudah dikaji sejak 10 tahun lalu.

Sama seperti apa yang berlaku di Kementerian Pengangkutan ini, apakah rakyat masih ingat, ada arahan supaya semua kenderaan berat lori dan bas, diletakkan lampu kuning yang akan menyala apabila had laju melebihi daripada yang ditetapkan.

Ke mana perginya arahan tersebut kini? Berapa banyak kenderaan dan tuan punya kenderaan menghabiskan wang mereka untuk memasang lampu kuning di atas kenderaan berat tersebut?

Begitu juga dengan Kementerian Kewangan. Suatu ketika dahulu, note RM5 adalah note polimer. Selepas tujuh tahun penggunaannya, dengan seorang pegawai kanan Bank Negara dan seorang pengarah syarikat mencetak wang dihadapkan ke mahkamah, kini note RM1 pula diterbitkan note polimer.

Persoalannya, mengapa note RM100, RM50, RM20 tidak dicetak note polimer? Apa tujuan wang kertas ini ditukarkan kepada polimer sebenarnya?

Tentulah untuk menjadikan note itu lebih berkualiti, tahan lama dan tidak boleh dipalsukan.

Malangnya, di Malaysia, matawang yang sering dipalsukan ialah note RM50 dan RM100, tetapi mata wang ini tidak dicetak note polimer, tetapi matawang yang tidak dipalsukan pula dipolimerkan. Kenapa jadi begini?

Kementerian Pelajaran juga adalah kementerian yang pernah menghabiskan banyak wang kerana dasar ad-hoc. Contoh paling ketara, isu PPSMI dahulu. Berapa banyak komputer dibekalkan, terpaksa mencetak buku teks berlainan dan guru-guru dihantar kursus – tetapi akhirnya, ia dibatalkan.

Ramai yang kagum dengan ketegasan empat buah negeri di bawah Pakatan Rakyat, Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang yang mahu menangguhkan dahulu penguatkuasaan AES ini.

Apakah ada negeri-negeri di bawah BN berani mencontohi keberanian negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat supaya menangguh dahulu penguatkuasaan penggunaan kamera ini?

Jika rakyat tidak bersatu dalam menentang langkah Kementerian Pengangkutan ini, nescaya selepas ini, mungkin ada lagi kamera lain yang mahu dipasang atau, ada alat-alat lain yang diwajibkan pengguna membayarnya.

Dasar ini adalah dasar "mesra tauke" dan kementerian akan sentiasa memikirkan untuk mengkayakan tauke dan "mencekik" rakyat.

Jadi, peti undi dalam PRU-13 boleh membantu rakyat bagi memberhentikan pemasangan kamera AES ini. Rakyat kena menyatakan bantahan secara terus-terang dengan memberikan undi kepada pihak yang tentunya mampu menangguhkan dan seterusnya memberhentikan kerja-kerja "merompak" wang dan pendapatan rakyat ini.

Mereka membandingkan pemasangan kamera seperti ini di negara-negara maju, tetapi dalam masa yang sama, mereka tidak langsung bercakap mengenai langkah-langkah mengurangkan kes kecurian motosikal, kereta dan jenayah yang berkaitan dengan kenderaan.

Sebenarnya, setiap menteri baru di satu-satu kementerian, akan berusaha membuat sesuatu yang baru, sebagai "ikon" yang ditinggalkan mereka kelak. Mereka akan merubah warna cat bas sekolah, warna cat teksi dan sebagainya.

Mereka akan mengeluarkan arahan tertentu dengan "tempoh yang singkat" supaya ada kedai-kedai alat ganti akan mengaut keuntungan lumayan.

Hidup rakyat kini semakin terhimpit. Pelbagai bayaran perlu dijelaskan, tidak termasuk saman dan kos kesihatan yang meningkat. Penggunaan kereta sekarang bukan sesuatu lambang kemewahan, sebaliknya ia suatu keperluan.

Tetapi dengan bayaran lesen memandu, cukai dan insuran yang mahal, bayaran parkir yang "banyak ditawan pihak swasta" dengan harga tinggi, kerosakan dan kini saman – dari tiga pihak PBT, JPJ dan polis, menunjukkan "moto rakyat didahulukan" sebenarnya retorik!

Ini belum ditambah dengan kos minyak, minyak hitam, tayar, minyak brek, minyak gear dan minyak kuasa stereng, apakah rakyat tidak berhak untuk menyuarakan kebimbangannya terhadap kamera AES ini?

Berapa banyak lagi keraajan mahu ambil dari rakyat, apabila rakyat memberi kuasa kepada mereka?

Tiada ulasan: