SUNGAI
BULOH: “Apabila nampak penjenayah depan mata, saya tidak fikir bahaya,
sebaliknya hanya mahu tangkap mereka” kata Inspektor Saiful Bahari
Yunus, 28, yang cedera terjatuh dari tingkat dua rumah teres ketika
menyertai serbuan bagi menahan suspek kes curi kereta di Subang
Perdana, Kampung Baru Subang, dekat sini, Selasa lalu.
Saiful
yang bertugas di Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen
(IPK) Selangor, kini dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) di sini,
kerana patah tangan kiri dan tulang pipi kiri.
Menurutnya, ketika serbuan jam 5.40 petang itu, beliau bersama beberapa pegawai dan anggota lain menyerbu rumah teres di Subang Perdana itu bagi menahan sembilan suspek kes curi kereta.
“Saya
nampak dua suspek memanjat bumbung untuk melarikan diri. Saya dan
seorang lagi anggota turut memanjat bumbung itu untuk mengejar mereka
dan menahan dua lelaki terbabit.
“Namun, tiba-tiba atap genting tempat saya berdiri pecah menyebabkan saya terjatuh dan tidak sedarkan diri,” katanya yang ditemui di HSB ketika menerima lawatan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, semalam.
Lebih menyedihkan, isterinya, Nor Hazwani Abdul Halim, 29, tidak dapat melawat atau menjaganya di hospital kerana berpantang anak kedua mereka di Ipoh, Perak.
Saiful yang sudah tujuh tahun berkhidmat berkata, kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus membanteras jenayah.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, semalam, berkata, sebelum kejadian seorang penyelia berusia 46 tahun disamun empat lelaki bersenjata parang di Bukit Puchong.
“Dalam
kejadian jam 4.50 petang di depan pasar raya Tesco Bukit Puchong,
suspek yang menaiki Honda Civic mengacukan parang ke arah mangsa dan
mengarahkannya serta dua saksi kejadian, mendiamkan diri.
“Mereka
melarikan kereta mangsa jenis Toyota Hilux bernilai RM102,000. Mangsa
membuat laporan polis dan satu gerakan mengesan suspek dilakukan,”
katanya.
Sepasukan polis termasuk Saiful mengesan suspek dan mereka menyerbu rumah teres disyaki dihuni kumpulan terbabit.
“Hasil serbuan, sembilan lelaki berusia 18 hingga 30 tahun termasuk dua suspek yang cuba meloloskan diri ditahan. Polis merampas tujuh kenderaan iaitu dua Toyota Hilux, dua Proton Wira, Proton Satria, Proton Saga dan Honda Civic.
“Turut
dirampas tiga parang disyaki digunakan bagi melakukan jenayah manakala
semakan mendapati semua kereta dilaporkan dicuri di Selangor dan Pulau
Pinang,” katanya.
Mohd Adnan berkata, semua suspek yang aktif mencuri kereta lebih setahun lalu, kini direman sehingga 23 November ini mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan