Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Lim Kit Siang tidak pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada Lee Kuan Yew serta tidak pernah menjadi orang kepercayaan bekas pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura itu. Ini adalah fakta.
Namun, lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, terus mencipta dan menabur fitnah dengan niat mahu membangkitkan kebencian perkauman dengan cara mengaitkan DAP dengan PAP tanpa perlu fakta dan kebenaran.
Dalam ruangan Awang Selamat di akhbar Mingguan Malaysia semalam, kolum pojok itu mendakwa: “Lim Kit Siang adalah antara orang kepercayaan Kuan Yew ketika dalam PAP. Beliau juga adalah bekas Setiausaha Akhbar Kuan Yew sewaktu zaman mudanya.”
Menurut Kit Siang selaku Ketua Parlimen DAP, tulisan pojok yang tidak berfakta, tidak bertanggungjawab serta menampilkan kedangkalan penulis itu adalah bohong dan fitnah semata-mata.
“Saya tidak pernah sekali pun terlibat dengan PAP dalam tempoh saya memegang jawatan sebagai wartawan di Singapura dari tahun 1961-1964, walau pun saya aktif dalam Singapore National Union of Journalists, sebagai Setiausaha Agung pada 1962-1963.
“Tambahan pula, saya tidak pernah sekali pun menjadi Setiausaha Akhbar kepada Kuan Yew walau pun saya telah berkhidmat untuk satu tempoh di bahagian media dalam Kementerian Kebudayaan,” jelas beliau dalam satu kenyataan.
Katanya, kempen fitnah itu bukan sahaja membuktikan Utusan sebagai akhbar karut serta penuh penipuan, ia juga mencerminkan kebimbangan UMNO dan Barisan Nasional untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, selain pembohongan yang sudah menjadi resam dan jati diri Utusan, UMNO-BN juga semakin giat menyebarkan fitnah terhadap DAP dan Pakatan Rakyat melalui kempen di alam maya internet.
“Melalui internet, cyber trooper UMNO-BN sedang menyebarkan fitnah dengan niat jahat bahawa saya bertanggungjawab dalam mencetus rusuhan 13 Mei 1969 dan kononnya saya telah melemparkan tohmahan anti-Melayu selepas pilihan raya umum 1969 yang telah mencetus rusuhan itu.
“Hakikatnya, saya tidak berada di Kuala Lumpur pada 10, 11, 12 dan 13 Mei 1969. Ini boleh disahkan oleh media massa pada masa itu dan dalam rujukan laporan polis.
“Pada masa itu, saya sedang bertanding dalam pilihan raya umum di kerusi Bandar Melaka tahun 1969 dan pada pagi 13 Mei 1969, saya telah terbang ke Kota Kinabalu untuk menghulurkan sokongan dan bantuan dalam kempen pilihanraya di Sabah,” jelasnya.
Pilihan raya Sabah pada masa itu ditangguhkan selama dua minggu selepas selesai pilihan raya umum 1969 di Semenanjung.
Kit Siang berkata, selain dirinya yang menjadi mangsa fitnah UMNO-BN, Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP serta Ketua Menteri Pulau Pinang juga menjadi sasaran cyber trooper UMNO-BN yang tidak pernah menggunakan fakta dan maklumat tepat untuk menyebar dakyah palsu serta fitnah zalim.
Menurutnya, kempen fitnah itu mendakwa kononnya Guan Eng – pada masa itu bersekolah rendah – turut bertanggungjawab mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 kerana Guan Eng yang dikatakan menjadi pemimpin Pemuda DAP (DAPSY) pada ketika itu telah melemparkan kata-kata anti-Melayu..
“Umur Guan Eng pada bulan Mei 1969 baru lapan tahun sahaja! Ini menggambarkan betapa kotor, tidak berprinsip dan tidak bertanggungjawab politik murahan yang telah dicipta di Malaysia menjelang pilihan raya umum yang akan datang dan bagaimana lemparan fitnah seperti ini boleh dibuat terhadap seorang kanak-kanak lapan tahun!” jelas beliau.
Tambahnya, pada Mei 1969, DAPSY belum pun wujud kerana ia hanya ditubuhkan pada 1973 dan ketua pertamanya adalah mendiang P. Patto.
Guan Eng dilantik sebagai Ketua DAPSY pada 1989 dan kemudian dipilih untuk jawatan itu pada 1992, iaitu 20 tahun lebih selepas tragedi 13 Mei. Ini bererti para penabur fitnah UMNO-BN semakin hilang kewarasan dan daya intelek mereka.
Kit Siang menjelaskan bahawa DAP juga tidak pernah bersikap anti-Melayu, sebaliknya telah memberi komitmen penuh sejak penubuhan parti pada 1966 untuk membela semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Bahkan, dalam tahun 1969, beberapa calon Melayu dari DAP telah bertanding kerusi Parlimen dan DUN. Dua orang ADUN Melayu menang di bawah tiket DAP, seorang di Perak manakala seorang lagi di Negeri Sembilan,” tambah beliau.
Menurutnya, kempen fitnah sama ada melalui Utusan, laman web atau ceramah pemimpin UMNO-BN semakin menjadi-jadi sejak 2008 di mana tuduhan karut dan tidak masuk akal terhadap DAP telah disebarkan, antaranya:
• Kononnya DAP mahu mewujudkan Malaysia yang Kristian dan menjadikan agama Kristian sebagai agam rasmi;
• Kononnya DAP mahu melantik Perdana Menteri beragama Kristian; dan
• Kononnya DAP mahu memansuhkan sistem Raja Berperlembagaan dan menubuhkan negara republik.
Katanya, hanya dengan keberanian rakyat untuk membuat perubahan besar dalam PRU13 dapat
memastikan budaya serta kempen fitnah tersebut dapat dihapuskan. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan