Rabu, 27 Jun 2012

Fitnah RM3 bilion: Murad ke Jerman mohon maaf pada Anwar – Saifuddin

Oleh Masdar Wahid


PETALING JAYA : Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan, bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Murad Khalid pernah memohon maaf secara terbuka di depan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik Ketua Pembangkang itu dibebaskan dari penjara pada 2004.

Beliau yang menjadi saksi kejadian itu berkata, Murad juga mengambil penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Jerman untuk menemui Anwar yang ketika itu bakal dibedah untuk mendapatkan rawatan berkaitan tulang belakangnya.

“Pada penghujung 2004, Murad melakukan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Munich, Jerman dan menemui sendiri Anwar untuk memohon maaf.

“Malah Murad sendiri mengakui di hadapan Anwar bahawa beliau dipaksa dan ditekan oleh pimpinan tertinggi Umno membuat akuan bersumpah dengan menuduh kononnya Anwar memiliki ‘master account’ berjumlah RM3 bilion.

“Anwar dalam responnya meminta beliau (Murad) tampil untuk memperbaiki keadaan itu, namun Murad enggan dan beban tuduhan itu sehingga kini diletak kepada kami (KEDAILAN) walhal ianya adalah tuduhan dan fitnah semata-mata,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.

Saifuddin menegaskan, taktik pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menyerang Anwar dan Pakatan Rakyat tidak akan jejaskan tumpuan mereka untuk mempromosikan agenda untuk rakyat.

“Kami akan teruskan agenda untuk rakyat bagi mempromosikan dasar pendidikan percuma, pemansuhan tol, pemberian permit teksi dan pelbagai lagi dasar pro rakyat,” kata Ahli Parlimen Machang itu lagi.

Anwar dirawat di Klinik Alpha di Munich, Jerman pada 2004 oleh Dr Thomas Hoogland, pakar tulang belakang yang berpengalaman melakukan 14,000 pembedahan tulang belakang sebelum itu.

Tiada ulasan: