Jumaat, 20 April 2012

Pembeli dapat kunci rumah Alam Perdana 28 April

 
Rumah-rumah teres telah berjaya dipulihkan oleh kerajaan negeri menerusi Menteri Besar Incorporated (MBI) setelah terbengkalai sejak 2004.




PETALING JAYA: Kerajaan negeri Selangor akan mengadakan Majlis Penyerahan Kunci kepada seramai 1,116 pemilik rumah teres dan 2,500 pemilik rumah kos rendah di Bandar Alam Perdana, Ijok pada 28 April ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, rumah-rumah teres ini telah berjaya dipulihkan oleh kerajaan negeri menerusi Menteri Besar Incorporated (MBI) setelah terbengkalai sejak 2004.

Menurut beliau dalam satu kenyataan media, MBI membelanjakan lebih RM187 juta untuk menyiapkan rumah teres ini termasuk kos pengambilan tanah untuk pembinaan tangki air, laluan bagi tangki air dan laluan utama ke taman perumahan.

MBI telah melaksanakan usaha-usaha pemulihan terhadap projek perumahan terbengkalai ini termasuk pecah sempadan, tukar syarat tanah dan pengeluaran hakmilik individu dan seterusnya memastikan pembeli terlibat memperolehi rumah tersebut sehingga Sijil Layak Menduduki dikeluarkan.

Beliau menerangkan, rumah kos rendah berjumlah 2,500 unit telah disiapkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). SPNB memulakan kerja-kerja pembinaan pada November 2009 dan siap sepenuhnya pada tahun lalu.

Pada majlis ini juga katanya, kerajaan negeri akan menerangkan kepada 203 pembeli rumah teres dua tingkat jenis Arcadia di mana rumah-rumah ini terpaksa diroboh kerana tidak selamat diduduki.

“Pembinaan semula rumah-rumah ini akan dilakukan anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB),” katanya.

Abdul Khalid berkata, pada 21 Mei depan pula akan diadakan penyerahan kunci kepada 694 pembeli pangsapuri Kampung Berembang di Ampang yang tiga tahun lewat disiapkan oleh pemaju.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil alih projek ini dengan melantik pemaju baharu dengan kos pembinaan RM29 juta.

“Usaha-usaha ini dilaksanakan kerajaan negeri bagi memastikan nasib rakyat Selangor terbela dan tidak dibebani hutang sehingga ada antara mereka telah diisytihar muflis disebabkan kegagalan pemaju menyiapkan rumah,” jelas beliau.

Tiada ulasan: