Isnin, 20 Februari 2012

Melayu DAP mencari kawasan bertanding pada pilihan raya umum

MALAYSIA CHRONICLE


PROGRAM turun padang bertemu rakyat terus berlangsung menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang khabarnya akan diadakan selewat-lewatnya pertengahan tahun ini. Parti-parti politik kini dalam keadaan bersiap sedia menantikan ‘semboyan’ pilihan raya. Kepada 3.7 juta penduduk yang belum menjadi pengundi, eloklah mendaftar dengan segera. Jika PRU tidak berlangsung bulan depan, maka peluang mereka mengundi masih ada. Jangan sia-siakan hak anda. Tanpa hak sebagai pengundi, anda hanya mampu menjadi penonton dalam menentukan bakal pemimpin negeri dan negara. Lebih-lebih lagi jika anda penyokong parti politik sama ada Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang DAP-Pas-PKR (3P).

Seperti yang dapat didengar dan dilihat, BN dan 3P gigih ‘berkempen’ dan menyusun strategi dalam menghadapi PRU ini. DAP misalnya dilaporkan akan menurunkan lebih ramai calon Melayu. Pada masa yang sama parti itu menetapkan setiap calon hanya bertanding satu kerusi sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Sebelum ini ramai calon DAP bertanding di dua kerusi. Ada yang menang kedua-duanya, menang salah satu atau kalah kedua-duanya. Jumlah calon Melayu DAP pula tidak ramai. Mungkin ketiadaan calon atau tidak ramai Melayu menganggotai DAP.

Bagaimanapun sejak kebelakangan ini beberapa kerat Melayu menyertai DAP termasuk yang pernah bersama UMNO. Adakah mereka ini bakal menjadi calon? Apa pula muslihat DAP jika benar mahu meletakkan lebih ramai calon Melayu?

Ada yang berkata, untuk menunjukkan bahawa DAP parti pelbagai kaum. Ada juga yang melihat ia sebagai strategi untuk melantik di kalangan wakil rakyat DAP sebagai Menteri Besar di beberapa negeri seperti Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor. Apa pun muslihat dan strategi DAP, pastinya kali ini lebih ramai muka baru Melayu akan diletakkan sebagai calon. Tidaklah calon yang sama ditonjolkan setiap kali PRU. DAP mula menurunkan calon Melayu apabila kali pertama menyertai PRU pada tahun 1969. Seorang calon di Parlimen dan sembilan DUN. Dua calon DUN menang iaitu Ibrahim Singgeh (Tapah Road) dan Hassan Ahmad (Si Rusa). Jika diselak kembali beberapa PRU sebelum ini, nama seperti Ahmad Ton, Fadzlan Yahya, Abu Bakar Lebai Sudin, Zulkifli Mohd Noor dan Abdul Muluk Daud sering ditonjolkan. Aktivis dan pemimpin kesatuan sekerja banyak menjadi calon DAP. Calon Melayu ini bertanding di kawasan Parlimen dan DUN yang mempunyai majoriti pengundi Cina dan Melayu. Calon ini bagaimanapun gagal menyerlah di kawasan majoriti pengundi Melayu. Jika DAP mengotakan hasrat supaya hanya satu kerusi untuk seorang calon, maka lebih ramai Melayu berpeluang bertanding. Dengan kerjasama Pas dan PKR, pastinya DAP lebih yakin untuk meletakkan calon-calon Melayu.

Menyelak kembali PRU 1995, daripada 50 kerusi Parlimen dan 103 DUN yang ditandingi DAP, enam calon Melayu diturunkan di Parlimen. Calonnya mencabar Anwar Ibrahim di Permatang Pauh. Bagaimanapun A. Rahman Manap hanya memperoleh 4,430 undi tetapi mengatasi undi calon Pas, Mazani Abdullah yang mendapat 4,071 undi sementara Anwar 27,945 undi. Melayu DAP turut bertanding di Parlimen Tapah, Segambut, Segamat, Labis, Senai. Di peringkat DUN, DAP meletakkan calon Melayu di Seberang Jaya, Permatang Pasir, Sungai Bakap, Sungai Acheh, Sungai Pinang, Batu Uban, Bayan Lepas, Telok Kumbar dan Telok Bahang (Pulau Pinang); Kuala Kurau dan Aulong (Perak); Sanggang (Pahang); Sungai Pelik (Selangor).

Tahun 1999, empat calon Melayu diturunkan di Parlimen (Bayan Baru, Gopeng, Selayang, Labis) dan tiga DUN (Aulong, Lepar dan Damansara Utama).

Pada PRU 2008, DAP bertanding di 47 kerusi Parlimen dan 102 kerusi DUN. Ketika itu calon Melayu DAP yang bertanding di Semenanjung ialah Abu Bakar Lebai Sudin (P Raub); dan Ahmad Ton (P Tanjong Piai dan N Pekan Nenas).

Sebelum itu pada 2004, daripada 44 calon Parlimen dan 104 DUN yang ditandingi DAP, calon Melayunya ialah Zulkifli Mohd Noor (Bukit Bendera), Abu Bakar Lebai Sudin (Bentong), Azhari Ismail (Bakri) manakala DUN pula melibatkan Abd Rahman Said Alli (Teja) dan Ahmad Ton (Bekok). Seperti 2008, mereka tewas kepada calon-calon BN yang mewakili MCA dan Gerakan. Mereka ditolak di kawasan pengundi yang majoritinya adalah masyarakat Cina. Apakah kali ini suasana akan berubah?

Mungkin sebagai percubaan, calon Melayu boleh diletakkan di Parlimen Bagan supaya Lim Guan Eng hanya bertanding di peringkat DUN. Melayu DAP pernah memenangi kerusi yang majoritinya masyarakat Cina di Parlimen Bayan Baru pada 1990 melalui Ahmad Nor. Bagaimanapun Ahmad Nor tewas di DUN Batu Uban. Selain Ahmad Nor, turut bertanding dan menang ialah calon DUN di Perak iaitu Mohd Asri (Dermawan) dengan majoriti 7,540 undi dan Fadzlan Yahya (Lahat) dengan majoriti 429 undi. Calon Parlimen lain yang bertanding tetapi tewas ialah A.Rahim Mat Taib (Tanjong Malim) dan Ahmad Ton (Labis); calon DUN,Hairuddin Jantan (Sekinchan), dan Abd Malek Aman (Repah).

Tahun 1982, DAP bertanding di 63 kerusi Parlimen dan enam calon Melayu diturunkan. Mereka ialah Zainal Abidin Ahmad (Matang), Ibrahim Singgeh (Batang Padang); Zakaria Abdul Manaf (Tanjong Malim); Ab. Rashid Daud (Kuala Selangor); Zainal Rampak (Ulu Langat); Abdullah A. Hamid (Pulai). Di peringkat DUN, 10 daripada 131 calonnya adalah Melayu yang bertanding di Telipok (Kelantan); Bagan Ajam (Pulau Pinang); Alor Pongsu, Chemor, Pasir Bedamar (Perak); Jenderak, Sungai Lembing, Bandar Maran (Pahang); Jeram, Sementa (Selangor); Labu, Pilah, Si Rusa, Pasir Panjang (Negeri Sembilan); Bukit Serampang dan Peserai (Johor). Hanya Fadzlan menang di Pasir Bedamar.

Pada tahun 1986, 64 calon DAP bertanding di kerusi Parlimen dan 118 di DUN. Ramai juga Melayu bertanding atas tiket DAP. Seorang daripadanya menang di DUN Pasir Bedamar, Perak iaitu Fadzlan. Beliau juga bertanding di Parlimen Telok Intan tetapi tewas. Calon Melayu juga diletakkan di Parlimen Kuantan. Calon-calon DUN pula ialah di Bunut Payong, Pinang Tunggal, Mak Mandin, Sungai Acheh, Sungai Rokam, Pengkalan Baharu, Dong, Sungai Lembing, Beserah, Teruntum, Semenyih dan Ampangan.

Begitulah sepintas lalu mengenai calon Melayu DAP. Apa yang pasti, Melayu DAP pernah bertanding dan menang di satu kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN. Itu situasi ketika DAP tidak menjalin kerjasama dengan parti-parti lain.

Justeru BN tidak boleh memandang ringan hasrat DAP ini. Mungkin dengan sokongan Pas dan PKR, calon Melayu di kawasan pengundi bercampur - Melayu, Cina, India - mampu menang. Jika dulu DAP keseorangan, kini keadaan sudah berubah. Sama ada DAP menjadi ‘kuda tunggangan’ Pas atau Pas menjadi ‘kuda tunggangan’ DAP, matlamat ‘kuda’ ini untuk sampai ke Putrajaya. Sama ada negara Islam atau negara berkebajikan, itu soal lain. Bincang sesudah sampai ke garisan kemenangan.-Utusan

Tiada ulasan: