Rabu, 27 Julai 2011

SPR Gesa Laksana Reformasi Total, Bukan Setakat Biometrik

Ditulis oleh Salmiah Drahsin


KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat menggesa kerajaan untuk melakukan reformasi pilihan raya secara menyeluruh sepertimana yang dituntut oleh gabungan 62 badan bukan kerajaan di bawah Bersih 2.0.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Pakatan mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan hanya membuat pindaan kecil seperti sistem biometrik yang hanya menambah masalah melalui pertambahan kos yang terpaksa ditanggung oleh rakyat sebaliknya melakukan reformasi total.

"SPR wajib kembali kepada lapan tuntutan yang disuarakan melalui Bersih 2.0 terutamanya penggunaan dakwat kekal kerana langkah itu adalah berkesan, murah, memberdayakan peranan parti-parti politik dan digunakan secara meluas di seluruh dunia.

"Sistem pilihan raya di negara ini memerlukan reformasi keseluruhan, bukannya pindaan-pindaan kecil yang akan menelan belanja ratusan juta tetapi menimbulkan pelbagai masalah baru yang menyemarakkan kemarahan rakyat,"tulis kenyataan media itu.

Kenyataan media itu dikeluarkan oleh Sekretariat Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli, Setiausaha Antarabangsa DAP, Liew Chin Tong dan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli.

Selain kos yang tinggi, sistem biometrik yang dicadangkan oleh SPR juga menghapuskan sistem timbang tara yang memberi ruang kepada setiap parti politik untuk memastikan sesebuah pilihan raya itu berlangsung dengan telus dan adil.

"Apabila tanggungjawab dan kuasa (sekarang ini di tangan ejen mengundi dan ejen pengiraan) untuk menyemak pengundi dan memastikan proses pengiraan adalah adil dipindahkan sepenuhnya kepada sebuah sistem komputer, parti-parti politik tidak ada peluang untuk memeriksa, menyemak dan memainkan peranan dalam proses pembuangan dan pengiraan undi.

"Kewujudan peluang ini sebagai proses timbang tara adalah ciri-ciri utama sebuah pilihan raya yang bersih dan adil. Makanya, sebarang langkah yang berhasrat untuk menghapuskan penglibatan parti-parti politik sebagai timbang tara adalah bertentangan dengan kehendak rakyat yang disuarakan melalui Bersih 2.0,"tulis kenyataan media itu lagi.

Oleh yang demikian, Pakatan Rakyat mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang turun pada 9 Julai lalu untuk menuntut sebuah pilihan raya yang adil dan bersih dilaksanakan di negara ini.

Dengan keberanian rakyat itulah, maka SPR dan kerajaan kata Pakatan akhirnya akur bahawa sememangnya masalah pengundi hantu dan pengundian berulang berlaku di negara ini.

"Namun begitu, penerimaan terbuka oleh SPR dan Barisan Nasional itu diikuti pula dengan cadangan sistem biometrik yang hanya akan menambahkan masalah; bukannya menyelesaikan pelbagai penipuan yang berlaku selama ini. Kosnya menelan belanja ratusan juta ringgit dan akan membebankan rakyat yang sudah pun berhadapan dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi.

"Mereka yang biasa dengan pelaksanaan sistem biometrik dan sistem komputer yang melibatkan seluruh negara dan jutaan rakyat Malaysia tahu bahawa sistem sebegini akan berhadapan dengan pelbagai masalah teknikal dan risiko keselamatan sistem.

"Lebih penting lagi adalah ketidakupayaan sistem biometrik menghalang pengundi hantu dan pengundi berulang kali kerana ia dibina berdasarkan pendekatan yang salah; iaitu setiap yang mempunyai kad pengenalan adalah pengundi yang sah. Ini akan membolehkan ramai pendatang asing yang diberikan kad pengenalan mengundi dalam PRU13,"tulis kenyataan media itu lagi.

Oleh itu, Pakatan percaya hujah bahawa penggunaan sistem biometrik hanya menambah masalah punya asas yang kukuh.

"Justeru, pendirian banyak pihak yang mempersoalkan kewarasan dan kebijaksanaan cadangan itu adalah tepat apatah lagi apabila penyelesaian sedia ada melalui penggunaan dakwat kekal adalah mudah, murah dan berkesan. Bukan sahaja sistem biometrik mahal dan memakan masa untuk dilaksanakan, kita juga khuatir ia akan melambatkan proses membuang undi pada hari pengundian yang akan mengurangkan kecenderongan pengundi keluar mengundi,"tulis kenyataan itu.

Tiada ulasan: