PETALING JAYA — Kesemua 62 pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diberi kuasa mendakwa pemilik kedai berhubung kesalahan isu halal dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan memberi latihan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, pegawai tersebut boleh mendakwa pemilik kedai di bawah pindaan Akta Perihal Dagangan 2011.
“Mereka akan diberi latihan oleh kementerian dan diperturunkan kuasa mendakwa pemilik kedai berkenaan sijil halal.
“Ini bertujuan untuk mengekang masalah tersebut. Contohnya, ada kedai menggunakan perkataan bismillah, ayat 1000 dinar dan gambar kaabah untuk menarik pelanggan sedangkan mereka tiada sijil halal.
“Bagaimanapun, secara moral dan logiknya, kita akan ingat kedai itu halal. Ini yang menjadi masalah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pertemuan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri bersama Pegawai Penyelaras Masjid Daerah (PPMD) seluruh Malaysia di sini, hari ini.
Bagaimanapun, ia akan dilaksanakan pada Januari depan.
Akta Perihal Dagangan 1972 dipinda kerana akta ini terlampau memberi kuasa untuk siasatan tetapi tidak mengukuhkannya.
Dalam pada itu, Jamil Khir berkata Jakim menaikkan elaun kepada 68 orang PPMD untuk menambahkan keselesaan mereka.
Jamil Khir memberitahu kenaikan elaun PPMD akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama Perdana Menteri.
“Saya akan bincang dengan (Datuk Seri) Najib (Razak) dan dibentang dalam Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Malaysia pada 22 Ogos nanti.
“Pada asalnya, mesyuarat akan diadakan pada 2 Ogos tetapi ditunda hingga 22 Ogos untuk capai persetujuan,” katanya.
Kini elaun PPMD adalah RM1,210 seorang.
Bagaimanapun Jamil Khir enggan menyatakan jumlah elaun yang dinaikkan.
“Kita tunggu pada 22 Ogos nanti termasuk dalam Nuzul Quran dan malam Lailatul Qadar,” katanya sambil berseloroh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan