Isnin, 20 Jun 2011

UMNO, Utusan ugut rakyat

Roketkini.com

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, telah bersekongkol dalam isu Bersih 2.0 untuk menghancurkan konsep 1Malaysia tajaan Perdana Menteri.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata Muhyiddin dan Utusan cuba membangkitkan keadaan huru-hara dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab serta membahayakan keharmonian negara.

Katanya, Muhyiddin pada Sabtu lalu telah membuat kenyataan tidak masuk akal sewaktu merasmikan mesyuarat UMNO Beaufort Sabah dengan menuduh Pakatan Rakyat menjadi dalang Bersih yang bertujuan menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.

Menurutnya, Muhyiddin telah mendakwa kononnya Bersih adalah cubaan Pakatan Rakyat untuk menjadikannya sebagai jalan pintas ke Putrajaya.

Setelah Muhyiddin membuat kenyataan itu, Kit Siang berkata, Utusan dalam edisi mingguan semalam, memberi amaran bahawa perhimpunan aman Bersih yang dijadualkan 9 Julai depan sebagai “mengambil kesempatan untuk mengapi-apikan rakyat Malaysia supaya turun ke jalan raya seperti yang berlaku di Mesir, Yemen, Libya dan Syria”.

Dalam kolum “Maulana Arrif”, penulis lidah rasmi UMNO itu menuduh “sebenarnya puak yang mahu berhimpun itu sudah hilang kepercayaan terhadap sistem demokrasi berpilihan raya kerana mereka tahu bahawa peluang mereka untuk menang dan memerintah negara tidak akan tercapai melalui kotak undi”.

Lagi tuduhan palsu yang dibuat oleh penulis Utusan itu: “Soal keamanan tidak penting lagi bagi mereka. Yang penting hanyalah merampas kuasa dan memartabatkan ketua mereka menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan apa jua cara sekalipun. Musuh-musuh Islam dari kalangan manusia dan syaitan-syaitan juga sedang bekerja untuk membantu mereka”.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata tuduhan-tuduhan liar, tidak bertanggungjawab dan tidak berasas itu sama seperti pembohongan dan fitnah Utusan pada 7 Mei 2011 yang mendakwa kononnya DAP mahu menubuhkan negara Kristian.

Katanya sehingga hari ini tiada sebarang bukti dikemukakan untuk mempertahankan tuduhan dan berita palsu itu, dan tidak ada tindakan tegas daripada kerajaan BN dan pihak berkuasa terhadap mereka yang membuat hasutan dan pengkhiatan itu setelah lebih 6 minggu.

Menurutnya Pakatan Rakyat komited kepada proses demokrasi mengikut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan untuk membawa perubahan politik di samping mengubah kerajaan pusat melalui peti undi sahaja.

“Pakatan Rakyat tidak akan melakukan sesuatu di luar hak-hak yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dan tidak melalui cara-cara yang tidak demokratik,” katanya.

Menurut Kit Siang, pimpinan UMNO yang perlu membuktikan kepada rakyat bahawa mereka benar-benar komited kepada Perlembagaan Persekutuan dengan mengisytiharkan sanggup menerima keputusan pengundi melalui peti undi – walau pun yang menang nanti ialah Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: