Selasa, 21 Jun 2011

Tarik talik RUU Perbadanan Pembangunan Kg Baru- Salahuddin


KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar didesak menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (RUU PPKB 2010) yang akan dibacakan buat kali kedua di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, penduduk mengemukakan bantahan berhubung RUU berkenaan yang jelas memanipulasi, menindas dan akhirnya bertujuan merampas hak mereka.

Salahuddin bersama wakil pemilik dan pewaris tanah kampung berkenaan yang hadir di parlimen hari ini, menegaskan bahawa mereka menolak sebarang cadangan penubuhan PPKB, sekaligus RUU PPKB 2010.

Menurutnya, terdapat beberapa butiran yang kabur dan wujud muslihat berhubung pindaan yang dicadangkan dalam rang undang-undang berkenaan.

Antaranya, pembatalan untuk memansuhkan Lembaga Penempatan Pertanian Melayu (MAS) yang menimbulkan persoalan mengenai fungsi dan peranannya.

Manakala keanggotaan perbadanan itu juga ditambah bagi jawatan Timbalan pengerusi yang tiada dalam RUU asal dan dua wakil tuan tanah diganti dengan lima wakil NGO.

Selain itu, katanya, pindaan itu juga menyentuh mengenai peranan majlis penasihat dan penarikan Akta Pengambilan Tanah yang juga dianggap kabur.

“Kami Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) mambawa mesej ini daripada pemilik dan pewaris tanah.

“Apa sahaja yang berkaitan tanah Kampung baru hendaklah mengambil kira kepentingan dan persetujuan pemilik dan pewaris tanah Kampung baru dan bukannya wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepentingan sendiri,” kata Salahuddin ketika sidang media di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan mewujudkan Perbadanan Kampung Baru sedangkan ia sebelum ini ditadbir oleh MAS.

“Persoalannya, jika Kampung Baru sudah mempunyai satu institusi pentadbiran yang sah, kenapa perlu satu Perbadanan baru diwujudkan melalui RUU PPKB 2010 ini?

“Kenapa tidak dibangunkan Kampung Baru melalui Lembaga Pentadbiran MAS yang sudah mempunyai kuasanya yang sah,” kata beliau.

Sementara itu, wakil penduduk, Muhd Noor Hassan yang hadir bersama sekumpulan pemilik tanah Kampung Baru turut meluahkan kekesalannya dengan RUU PPKB 2010.

“Menteri tipu kami, dia masukkan rang undang-undang yang tidak dipinda ini masuk ke parlimen, dengan tidak memberitahu kami langsung, lepas itu beritahu 95 peratus pemilik bersetuju, itu semua penipuan.

“Kami sudah dapat pemilik dan pewaris seramai 300 orang tandatangan bantahan, kami tidak bersetuju dengan cara mereka buat,” katanya.

Tiada ulasan: