KANGAR - Pas tidak bimbang dengan kebanjiran pemimpin profesional memegang tampuk kepimpinan pusat kerana Majlis Syura berhak membatalkan sebarang keputusan sekiranya didapati bertentangan dengan syariah Islam.
Bekas Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin berkata, soal sama ada kepimpinan Pas diterajui golongan ulama atau profesional bukan isu penting kerana kedua-dua golongan dihubungkan Allah dalam parti melalui tali Allah (Hablullah) walaupun berlainan bidang kemahiran.
Menurutnya, di dalam Pas pemimpin yang dipilih tidak penting, asalkan tokoh itu mentadbir dan menjalankan dasar parti mengikut kefahaman al-Quran dan Sunnah.
“Bagi saya, pemimpin yang dipilih perwakilan parti pada kali ini adalah kalangan mereka yang komited dengan perjuangan parti dan tidak akan tunduk dengan tekanan parti lawan.
“Selama ini, golongan profesional tidak pernah merungut dengan apa jua keputusan yang dilaksanakan golongan ulama, malah menerimanya dengan hati terbuka. Justeru, tidak salah selepas ini kita mempertimbangkan cadangan golongan ini selagi tidak bertentangan dengan hukum Allah dan dasar parti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian kelmarin.
Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan pemilihan pemimpin tertinggi pada Muktamar Pas baru-baru ini yang dilihat memihak kepada golongan profesional.
Hashim berkata, dakwaan pemimpin pembangkang mengatakan hala tuju Pas akan berubah sekiranya dipimpin golongan profesional tidak tepat kerana perjuangan ahli bukan semata-mata untuk menghalalkan matlamat dan cara demi mencapai kemenangan pada pilihan raya umum.
Menurutnya, dalam menyatakan sifat keterbukaan parti, Majlis Syura baru-baru ini meluluskan cadangan orang bukan Islam boleh bertanding di atas tiket Pas sekiranya memenuhi syarat ditetapkan bagi memastikan matlamat negara berkebajikan dicapai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan