Sabtu, 1 Januari 2011

DBKL roboh sarang pelacuran sekitar Kuala Lumpur

SELANGOR KINI

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 sarang pelacuran di sekitar Jalan Petaling dan Jalan Silang di sini hari ini dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membanteras kegiatan rumah pelacuran lapor Bernama.

Timbalan Penguasa Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, Tanda Usoh berkata seramai 156 anggota termasuk wakil daripada beberapa agensi menyertai operasi tersebut termasuk dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Imigresen mulai tengah hari hingga 3 petang.

“Tindakan hari ini adalah memecah atau merobohkan bilik-bilik yang telahpun dipecahkan sebelum ini sebanyak sembilan kali. Di Jalan Silang sahaja, kita memecah sebuah premis dua tingkat yang mempunyai 37 bilik,” katanya kepada pemberita.

Tiada tangkapan yang dibuat.

“Mulai esok, kita akan menempatkan lima anggota serta seorang pegawai untuk memantau premis-premis berkenaan. Kita akan pantau dan lihat selepas premis-premis ini dipecahkan. Kalau ada individu yang dilihat membuka kembali premis ini, tindakan akan diambil.

“Memang tiada kesudahannya aktiviti ini, kita hanya boleh pecah dan tahan lesen perniagaan mereka, tapi kita tidak boleh robohkan sesebuah bangunan 100 peratus macam itu sahaja, itu di luar bidang kuasa kita,” kata Tanda.

Tiada ulasan: